Tuesday

ANALISIS ISU : BEBAN TUGAS GURU DI SEKOLAH MEMBAWA PADAH

Oleh : Siti Nur Hidayah binti Mohd Shafie     
P
  Pengenalan
Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Begitulah perumpamaan yang sangat sinonim dengan situasi guru – guru pada masa kini. Pelbagai tugas dan beban diberikan sehari demi sehari bagi memenuhi tuntutan semasa.  Guru juga menjadi agen perubahan masyarakat madani yang menerima pelbagai cabaran di era globalisasi yang semakin pesat membangun. Tambahan, negara meletakkan sasaran yang tinggi dalam menjana ekonomi semasa untuk membolehkan negara bersaing di pasaran global. Matlamat ini memberikan tempias kepada bidang pendidikan khususnya warga pendidik.

Jika diteliti beberapa isu dalam bidang pendidikan termasuk isu – isu keguruan yang turut disiarkan di akhbar – akhbar antaranya Beban tugas : Ramai guru terdedah risiko penyakit kritikal ( Utusan  Malaysia, 2008 ) dan Guru tiada masa untuk keluarga ( Harian Metro, 2010 ) jelas memperlihat bahawa guru turut menanggung beban tugas yang kritikal sehingga membawa mudarat bukan sahaja kepada diri sendiri malah keluarga dan masyarakat. Hakikatnya isu ini memang berlaku namun tiada pihak yang sedar akan kesan dan kemudaratan yang boleh mencemarkan profesion keguruan.




2.0         Situasi beban tugas guru

Saya tertarik dengan keratan akhbar berhubung dengan isu Ramai guru terdedah kepada risiko penyakit kritikal ( Utusan  Malaysia, 2008 ). Apakah situasi sebenar yang berlaku di dalam dunia pendidikan kini terutamanya rutin harian bagi warga pendidik? Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata , semakin banyak guru mengalami tekanan perasaan dan terdedah kepada risiko penyakit barah, jantung dan darah tinggi. Hal ini berdasarkan jumlah tuntutan insurans yang dibuat dalam kalangan pendidik sejak lima tahun yang lepas. Rekod menunjukkan jumlah pertambahan bagi penyakit kritikal yang melibatkan guru pada setiap tahun dan situasi ini amat menakutkan khususnya bagi warga pendidik.

Stres kerja yang tinggi di kalangan guru telah mengakibatkan permasalahan-permasalahan yang serius yang berhubung kait dengan faktor-faktor seperti gangguan emosi, perubahan dalam tingkah laku dan “burn out” yang menghalang mereka daripada melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih berkesan (Dunham, 1976; Kyriacou dan Sutcliffe, 1978). Malah Murdock dan Scott (1993) mendapati bahawa stres di tempat kerja berlaku sebagai satu tindak balas terhadap kehendak persekitaran organisasi seseorang individu yang tidak selaras ataupun ketidakupayaannya untuk mengawalnya. Dalam hal ini, kecerdasan intelektual atau IQ semata-mata tidak memadai untuk menangani stres. Sebaliknya kecerdasan emosi (EQ) yang akan menjadi penentu kejayaan menangani stres.
Selain itu, peranan guru bukan sahaja bertindak sebagai penyampai ilmu malah hakikatnya guru perlu bertugas tidak mengira waktu seperti profesion seorang doktor dan arkitek. Saya mengatakan sedemikian kerana berdasarkan keratan akhbar  berjudul Guru tiada masa untuk keluarga ( Harian Metro, 2010 )  menyatakan sedang penjawat awam kelam kabut menuju ke mesin perakam waktu, guru – guru sudah ada di sekolah seawal jam 7 pagi. Tidak dinafikan guru – guru boleh pulang dari sekolah seawal tamatnya sesi persekolahan. Namun, tugas guru tidak berhenti di situ. Bagi menyediakan persiapan pengajaran yang rapi untuk keesokan harinya guru perlu menyambung tugas di sekolah bukan sahaja untuk persiapan pengajaran malah lain – lain hal seperti mesyuarat, kursus dan aktiviti – aktiviti lain memerlukan komitmen guru tanpa mengira waktu.

Bercakap soal waktu bertugas guru, banyak pihak yang turut mempertikaikan kelebihan profesion ini bersama ganjaran iaitu gaji yang lumayan. Hakikatnya dalam waktu yang sama, kesediaan dari segi mental dan fizikal amat mencabar profesion ini kerana guru bukan sahaja mengajar kurikulum berkaitan malah kemahiran – kemahiran yang lain seperti kesukanan, pengurusan, pengawasan, kreativiti, kemahiran ICT dan pertukangan turut memerlukan khidmat guru di sekolah. Siapa tahu guru juga menjadi tenaga buruh dan petani yang banyak menyumbangkan nama baik sekolah walhal banyak tenaga dan komitmen lain masih diperlukan.
Isu beban tugas guru ini memang sukar difahami masyarakat umum melainkan ada dalam kalangan keluarga atau rakan mereka terbabit dalam kerjaya itu. Tidak seperti kebanyakan kerjaya lain, tugas guru tidak terikat kepada waktu persekolahan. Selain terpaksa membawa kerja balik ke rumah, guru kadang kala terpaksa membuat kerja yang tidak ada kaitan dengan tugas mengajar seperti menghadiri mesyuarat sekolah, mengikuti program peringkat daerah atau peringkat negeri atau wakil pengetua atau guru besar.

Di samping itu, mereka juga terpaksa melakukan penyeliaan dan bimbingan aktiviti kokurikulum seperti persatuan, sukan dan badan beruniform. Ini tidak termasuk mengiringi pelajar menyertai program di luar sekolah yang mungkin mengambil masa beberapa jam mahupun beberapa hari. Semua ini dilakukan tanpa kemudahan bayaran lebih masa, tuntutan perbatuan yang dicatu mahupun lebihan masa yang digunakan untuk tugas rasmi diganti sebagai cuti rehat pada keesokan harinya. 


3.0         Punca situasi

Pada majlis pelancaran Sambutan Hari Guru 2010 Peringkat Kebangsaan Ke-39, Tahun lepas, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan empat syor jawatankuasa khas itu yang boleh dilaksanakan segera untuk meringankan beban tugas guru.
Beliau berkata, syor itu ialah mengurangkan bilangan jawatankuasa pada peringkat sekolah kepada jumlah lebih wajar, mengkaji semula bilangan peperiksaan dan ujian yang menjadi antara punca pertambahan beban tugas guru, menyusun semula tugas perkeranian di sekolah dan kursus yang perlu dihadiri oleh guru diselaraskan pada peringkat kementerian supaya tidak berlaku pertindihan.

            Walau bagaimanapun, sehingga hari ini belum dapat dilihat sebarang hasil dan kesannya terhadap guru. Bahkan guru semakin bertambah kerja. Sekiranya usaha ini dilaksanakan ke dalam sistem pengurusan sekolah sudah tentu beban tugas guru semakin berkurang dan guru dapat memberikan fokus terhadap tugas dalam bidang kurikulum.
           
            Kerja manual masih wajib dan kerja digital pun kena buat. Sebagai contoh :

1.    Maklumat Murid
o    Kena direkodkan dalam buku besar pendataran pelajar
o    Kena direkodkan dalam buku kedatangan
o    Kena direkodkan dalam kad 001
o    Kena direkodkan dalam SSM
o    Kena direkodkan dalam BBM
o    Kena direkodkan dalam fail KOKO

2.    Maklumat ujian dan peperiksaan
o    Kena direkodkan dalam buku ringkasan mengajar
o    Kena direkodkan dalam borang TOV
o    Kena direkodkan dalam ISIS (Sistem maklumat peperiksaan dalaman)
o    Kena direkodkan dalam SISPA/SASP (Sistem maklumat peperiksaan online)
o    Kena direkodkan dalam borang analisis item


Selain itu, permasalahan ini turut berlaku kerana dunia globalisasi kini memerlukan sistem bertindak sedemikian.

“ Perkembangan ekonomi pada hari ini adalah pesat. Demikian juga dalam bidang sosial. ... kita berhadapan dengan pelbagai unsur dari dalam dan luar. ... kebanyakan dari unsur ini adalah baik, tetapi ... yang didatangkan dari luar, yang tidak menyenangkan. Oleh itu, kita menghadapi satu cabaran lain, iaitu pembangunan kemanusiaan. “
                                                                         (Laporan Kabinet. 1979 : 226)

Bidang pendidikan menerima pengaruh persekitaran dari kemasukan globalisasi secara terbuka apabila sumber dan media pengajaran dan pembelajaran turut menggunakan kemudahan teknologi pada hari ini seperti penggunaan ICT. Jika dahulu guru banyak menggunakan alat – alat bantu mengajar yang pelbagai tapi kini guru hanya memerlukan sebiji komputer dan pemancar LCD untuk media pengajaran yang lebih interaktif. Murid juga turut terlibat dalam proses pelajaran berbantukan Teknologi Maklumat dan Komunikasi secara lansung. Perubahan ini jelas diterima oleh sekolah – sekolah seluruh Malaysia walaupun usaha untuk memperkasakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi ( TMK ) ini masih diperingkat asas.

Globalisasi dalam pendidikan turut menjelaskan beberapa cabaran yang perlu diterima oleh warga pendidik. Kredibiliti dan akauntabiliti guru semakin mencabar tugas sebagai seorang pendidik. Amanah yang dipikul semakin terbeban dengan pengagihan masa yang begitu padat antara tanggungjawab kepada murid dan tanggungjawab kepada lain – lain hal yang berkaitan dengan sistem pendidikan kini. Globalisasi telah memberikan cabaran kepada pembentukan jati diri yang tinggi dalam kalangan murid. Kesan yang paling ketara akibat pengaruh globalisasi adalah perubahan gaya hidup terutama dalam kalangan anak-anak remaja di bangku sekolah yang begitu terpengaruh dengan amalan negatif kehidupan Barat.

Oleh itu, semua institusi pendidikan menghadapi cabaran untuk meletakkan anak-anak remaja di landasan moral yang betul menurut acuan tempatan melalui pelaksanaan program-program pendidikan nilai di sekolah. Aspek yang perlu diteliti adalah aspek berkaitan keperibadian guru, budaya sekolah dan aktiviti-aktiviti ko-kurikulum kerana perkara tersebut memberi impak tersendiri dalam pembentukan moral pelajar.


4.0         Langkah mengatasi

Pihak yang paling berpengaruh menerima cabaran dalam dunia pendidikan kini ialah guru. Profesionalisme guru menjadi aset utama yang akan dipersoalkan dalam dunia globalisasi pada masa kini. Oleh hal yang demikian, guru perlu memiliki kualiti yang bersifat kontemporari dan releven dengan zamannya. Robiah (1994) dalam Habib & Megat (2008) mencadangkan beberapa kriretia guru yang perlu dimilki agar mereka mempunyai kesediaan dan mampu menghadapi perubahan zaman seperti berikut:

·         Berupaya memimpin perubahan di sekolah di mana guru itu bertugas
·         Mengutamakan daya pengeluaran tinggi dalam bidang kerjayanya
·         Sentiasa mengikut peredaran zaman
·         Memahami perkembangan teknologi
·         Mempunyai sifat berani, mahu mencuba idea baru dan inovatif.

Berdasarkan kriteria – kriteria ini, guru bukan lagi satu profession yang dianggap mudah malah professionalisme keguruan boleh dipertikai buat masa kini berdasarkan keperluan semasa. Cabaran yang dipikul semakin besar di samping memenuhi keperluan sosial yang sangat pantas berkembang.

“ Antara cabaran paling besar yang dihadapi guru dan pendidik masa kini ialah sama ada mereka memiliki kecekapan yang secukupnya dalam mempersiapkan dan membentuk generasi akan datang,” kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah dalam akhbar Berita Harian. Hal ini bermakna para pendidik kini berhadapan dengan cabaran yang lebih besar berbanding dengan era sebelum ini.

Namun, bagi kebanyakan guru, beban itu tidak pernah dipertikaikan kerana menyedari mereka sudah memilih kerjaya yang tanggungjawabnya menjangkaui waktu kerja. Walaupun begitu penyelesaian harus dicari bagi meringankan beban ini kerana lambat laun ia akan menjejaskan kesihatan dan kecergasan guru itu sendiri, selanjutnya memberi kesan negatif kepada murid. Apa sekali pun, kita yakin Kementerian Pelajaran akan mengambil kira kebajikan guru dalam menilai buruk baiknya penetapan waktu kerja sembilan jam ini sebelum membuat keputusan untuk melaksanakannya.


Cadangan kerajaan untuk melaksanakan program perintis sistem kerja sembilan jam bagi guru mulai Januari ini yang ditolak Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menjadi isu terbaru yang hangat dibincangkan kelompok keguruan sekarang. Bagi kesatuan terbabit, cadangan menetapkan tempoh waktu kerja bagi guru adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Alasan bagi menyokong pendirian ini ialah tugas guru tidak tamat selepas waktu persekolahan. Kementerian Pelajaran pula mahu guru bersikap terbuka terhadap cadangan itu. 

Mengehadkan murid kepada hanya 25 orang bagi setiap kelas di sekolah rendah dan menengah adalah antara 40 cadangan mengatasi beban tugas guru yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan Kementerian Pelajaran bagi mengkaji masalah berkenaan. Ia berdasarkan kajian ilmiah yang pernah dilaksanakan dengan mengambil kira model sekolah di negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia yang menunjukkan 25 pelajar bagi setiap kelas adalah jumlah yang ideal untuk membolehkan guru memberi tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran secara berkesan. Menurut sumber, ia adalah antara 40 cadangan yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Lagi cadangan yang dapat membantu mengurangkan beban guru ialah satu lagi cadangan ialah kementerian mematuhi pekelilingnya dengan memastikan ada guru ganti bagi mengisi kekosongan untuk guru cuti bersalin atau berkursus bagi tempoh lama dan bukan dibebankan kepada guru lain.
Cadangan lain ialah pengagihan tugas yang sama rata kepada semua guru di sekolah dan bukan hanya kepada kumpulan tertentu semata-mata berdasarkan ‘siapa boleh buat kerja.’ 

            Jawatankuasa berkenaan juga mencadangkan supaya kementerian menambah dua lagi kerani di sekolah yang murid melebihi 500 orang dan pentadbiran sekolah diberi kebebasan menentukan pembabitan dalam program anjuran pihak luar tanpa dikenakan sebarang tindakan.

            “Ketika ini, sekolah terpaksa akur jika ada arahan menyertai program anjuran pihak luar, walaupun kadang kala ia diadakan secara mengejut. Ini membebankan guru kerana pada masa sama mereka terpaksa menjalankan program lain yang sudah diatur terlebih dulu dalam takwim sekolah,” katanya.

Demi menyokong hasrat murni negara untuk  mencapai taraf pendidikan yang tinggi selaras dengan usaha negara ke arah pembangunan ekonomi secara global, semua pihak seharusnya memainkan peranan sebagai agen perubahan dan nadi penggerak kepada sistem pendidikan negara. Memandangkan negara mensasarkan peningkatan ekonomi sehingga meletakkan pelaburan yang tinggi ke atas sistem pendidikan, maka Negara seharusnya bertanggungjawab bagi kemajuan dan perkembangan pendidikan. Ini tidak bermakna semua sekolah diurus oleh kerajaan tetapi pendidikan seharusnya ditadbir menggunakan dana awam. Justeru pihak awam harus juga terus mengawal pendidikan, menentukan piawaiannya dan pengagihan sumbernya.

Guru pula akan terus menjadi wadah utama dalam pendidikan dan kualiti pendidikan banyak bergantung kepada kualiti pengajaran guru dan usaha guru itu sendiri. Seperti juga perkara lain dalam ekonomi global di mana guna tenaga berpengetahuan merupakan kunci utama kepada pengeluaran barangan yang bermutu, maka begitu juga industri ilmu pengetahuan juga akan bertambah kebergantungan kepada modal insan iaitu guru. Guru menjadi penggerak kepada arus perubahan sesebuah zaman yang terus membangun tanpa menunggu kesediaan seseorang guru.

Begitu juga peranan ibu bapa yang semakin berat kerana perkembangan globalisasi ini tidak akan menunggu masyarakat untuk menerimanya atau tidak. Atas keperluan dan kepentingan bersama, ia harus memenuhi pasaran ekonomi global negara. Tidak dapat dinafikan rata – rata masih ada ibu bapa yang tidak terdedah terhadap perkembangan globalisasi ini dan mereka tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana ada pihak lain yang boleh bertanggungjawab ke atas kebajikan anak – anak pada masa kini iaitu guru.

Sebagai kesimpulan, semua pihak termasuk kerajaan, ibu bapa, guru dan masyarakat harus menggembleng tenaga dan saling memberikan buah fikiran yang bernas untuk kebaikan anak bangsa bersama. Demi manyahut cabaran Wawasan 2020, pelbagai aspek perlu diberi perhatian termasuk bidang pendidikan selain tumpuan kerajaan terhadap sumber manusia dan pembangunan sosial yang lain. Kestabilan kedudukan dan prestasi yang baik dari setiap aspek keperluan negara membantu Malaysia menjadi sebuah negara maju yang mampu berdaya saing dengan negara-negara lain.

ANALISIS ISU: "MURID DIROTAN TRAUMA KE SEKOLAH"


OLEH : SITI FAIZAH BINTI HASSAN


1.0         PENGENALAN
Mengikut kamus dewan edisi ketiga, etika membawa maksud satu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan. Menurut kamus Oxford pula, etika ialah prinsip moral atau set prinsip moral. Profesion pula bermaksud pekerjaan terutamanya yang memerlukan pelajaran yang tinggi dan latihan yang khas misalnya dalam bidang undang-undang, seni bina, perubatan, perakaunan dan lain-lain. ‘keguruan’ pula membawa maksud tugas dan tanggungjawab (kerjaya) sebagai guru. Kesimpulannya, etika guru dalam pendidikan ini adalah sangat penting. Etika pelajar yang diajar oleh seorang guru yang tidak bersahsiah mencerminkan diri seorang guru yang tidak beretika. Guru yang baik dan beretika akan melahirkan generasi yang baik dan berjaya.

      Begitu juga dengan isu etika guru bukanlah cerita baru yang menghiasi dada akhbar dan kini sering dibicarakan di kaca televisyen. Profesion perguruan hari ini dilihat semakin goyah kerana ada segelintir golongan guru yang melanggar kod etika keguruan yang telah termaktub. Ini jelas apabila semakin banyak isu salah laku guru tersiar di kaca televisyen, menjadi topik perbincangan pihak tertentu dan menghiasi dada-dada akhbar. Terdapat pelbagai jenis salah laku yang dilakukan oleh guru yang mana bukan hanya melanggar etika profesion perguruan tetapi juga telah terlibat dengan akta jenayah negara. Ini sudah tentu akan mencemarkan martabat profesion perguruan sebagai satu profesion yang mulia pada pandangan masyarakat.


2.0         ANALISIS ISU
Isu yang saya pilih disini bertajuk “Murid dirotan trauma ke sekolah”. Isu ini adalah berkaitan dengan seorang murid tahun empat di sebuah sekolah di Kuala Besut yang cedera di belakang badannya akibat di rotan oleh gurunya di sekolah. Menurut berita Utusan bertarikh 29 Januari 2011 murid berkenaan dikatakan dipukul oleh guru berkenaan akibat daripada perbuatan mangsa yang dikatakan menjenguk seorang rakannya yang sedang menjawab kertas ujian. Akibat daripada perbuatan tersebut guru berkenaan dikatakan secara tiba-tiba meluru ke arah pelajar berkenaan dan terus merotan apabila selesai menduduki ujian. Murid berkenaan dikatakan dipukul sekali lagi sebelum sempat mangsa menjawab soalan guru berkenaan sama ada  murid terbabit sakit atau tidak.

            Walaubagaimanapun, mangsa yang kesakitan akibat dirotan kemudian dibantu oleh guru kelas menyapu ubat pada kesan luka dibelakangnya sebelum kes terbabit dirujuk kepada guru besar. Berikutan kejadian terbabit, murid terbabit dikatakan trauma untuk kembali ke sekolah dan masih terkejut selain mengalami kesakitan akibat dirotan guru terbabit.


3.0         PERKEMBANGAN
3.1         HUKUMAN MEROTAN
Merotan atau memukul sebagai satu cara mendidik sebenarnya bukanlah perkara baru. Menurut Sajap Maswan dan rakan (2004), mengatakan;

“Di Amerika, merotan dan cara dendaan fizikal yang lain adalah perkara biasa pada masa lalu. Blair G.M, at.el (1975) melaporkan bahawa pada awal abad ke 20, di sebuah sekolah…..yang mempunyai 250 guru, terdapat 328 kes merotan pada suatu minggu, atau purata 65 kes merotan setiap hari. Di sebuah sekolah yang lain pula, lapan belas orang murid lelaki dirotan selama dua jam di hadapan seorang dewasa atau orang yang tidak dikenali. Ada seorang guru tua memberitahu, bahawa pada hari pertama beliau mengajar, dia merotan setiap orang  murid yang ada di dalam kelasnya.”

      Mengikut pekeliling dan peraturan sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia, salah laku murid boleh dikategorikan kepada tiga jenis iaitu kesalahan berat, kesalahan sederhana dan kesalahan ringan. Melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003 bertarikh 29 Oktober 2003 telah mengariskan 35 kesalahan berat yang membolehkan pelajar yang melanggar kesalahan tersebut diberi hukuman rotan di punggung. Antara kesalahan yang di katogerikan sebagai ‘berat’ ialah seperti menyimpan, membawa, menghisap atau terbabit dalam kegiatan dadah, membawa menyimpan, menghisap atau mengedar bahan tembakau dan membawa, meminum, menyimpan atau mengedar minuman keras atau sebarang benda yang memabukkan atau menghayalkan. Selain itu, biadap terhadap guru, pengawas dan murid lain juga turut dikategorikan sebagai kesalahan berat. Turut disenaraikan sebagai kesalahan berat ialah membuli, berjudi, mencuri serta mencetak, menerbit, mempamer, mengedar, menyimpan rencana, majalah atau pita rakaman dan multimedia terlarang. Jika didapati bersalah, pelajar berkenaan akan dirotan di punggung menggunakan rotan ringan maksimum tiga kali.

      Di dalam tradisi Pendidikan Islam, Rasulullah membenarkan kaedah rotan di dalam mendidik anak. Dalam salah satu hadis baginda bersabda maksudnya, “Ajar anakmu untuk belajar mengerjakan solat apabila berumur tujuh tahun. Pukul dia andai kata enggan melakukan solat itu pada usia 10 tahun”. Berdasarkan hadis ini, jelas bahawa memukul atau merotan sebenarnya adalah salah satu cara pendidikan yang dibenarkan dalam Islam. Walau bagaimanapun merotan atau memukul adalah hukuman yang akhir selepas melalui beberapa peringkat seperti nasihat, peringatan atau bentuk bimbingan.

      Menurut Sajap Maswan dan rakan (2004), mengatakan pada tahun 1848, sebuah sekolah tinggi di Carolina Utara menerbitkan satu senarai tingkah laku yang dilarang bersama dengan hukumannya sekali. Diantara peraturan tersebut ialah;
1.    Murid lelaki yang bermain dengan murid perempuan, empat kali sebat.
2.    Berkelahi, empat kali sebat.
3.    Menyimpan kuku panjang, dua kali sebat.
4.    Bercakap kasar, lapan kali sebat.


3.2   FAKTOR-FAKTOR YANG MENYEBABKAN GURU MEROTAN MURID BERKENAAN
Dalam mengkaji isu merotan yang dilakukan oleh guru berkenaan, terdapat beberapa faktor yang dikenalpasti yang memungkinkan guru terbabit mengambil jalan mudah merotan murid terbabit.


3.2.1     KURANGNYA PEGANGAN AGAMA
Guru tidak menghayati apa yang diajarkan dalam agama. Agama Islam contohnya menganjurkan agar umatnya mendidik dengan ikhlas, amanah dan penuh tanggungjawab mengikut seperti panduan yang digariskan. Menurut Abdullah Nasih Ulwan dari Ibn. Amr bin Al-Ash ra dalam Zainudin (2010), hukuman rotan adalah agar anak dapat mempelajari hukum-hukum ibadah sejak dari pertumbuhannya dan sehingga kanak-kanak ini membesar dan ia akan terbiasa dan berdisiplin untuk mentaati Allah. Seterusnya anak ini akan mendapat kesucian roh, kesihatan jasmani, kebaikan akhlak di dalam ibadah yang dilakukan. Walau bagaimanapun merotan atau memukul adalah hukuman yang akhir selepas melalui beberapa peringkat seperti nasihat, peringatan atau bentuk bimbingan.

3.2.2     TEKANAN BEBANAN TUGAS
Guru yang menghadapi tekanan adalah guru yang tidak dapat mengawal emosi mereka terhadap perubahan budaya pendidikan yang bukan sahaja untuk memberi ilmu pengetahuan tetapi perlu mendidik manusia agar menjadi modal insan yang berguna kepada masyarakat. Mengikut Kyriacou & Sutcliffe (1978) dalam Nazariah (2011) menyatakan bahawa tekanan guru boleh ditakrifkan sebagai perasaan tidak selesa, emosi negatif seperti marah, kebimbangan, tekanan serta kekecewaan yang berpunca dari aspek kerja mereka sebagai guru. Dunia pendidikan kini memaksa guru melakukan kerja lebih masa, perkeranian, menyediakan alat bantu mengajar, menghadiri kursus atau bengkel sepanjang minggu sambil terpaksa melakukan penyesuaian terhadap kaedah pengajaran yang baru sehingga mengabaikan emosi dan kehendak dalaman mereka.

3.2.3     KURANG MOTIVASI DARI DALAMAN GURU
Mengikut Nazariah (2011), tanpa motivasi diri, seseorang guru itu akan mendapat kesan yang tidak disedari seperti hilang fokus, tiada matlamat yang jelas, hilang minat dan luntur komitmen dalaman. Guru pada hari ini terbeban dengan hal-hal persekitaran yang mungkin menyebabkan guru dibelengu rasa kecewa kurang motivasi, lemah semangat, dihimpit bebanan sehinggakan guru merasa tertekan, depresi, kurang minat mengajar dan sebagainya.

3.2.4     GANGGUAN EMOSI
Emosi yang tidak stabil akan menyebabkan kemarahan. Kemarahan yang melampau boleh memberikan kesan negatif dalam kehidupan sehingga membawa kepada gejala yang tidak sihat kepada tubuh badan dan pemikiran. Gangguan emosi ini terhasil apabila guru tidak mencapai keperluan peribadi. Misalnya seorang guru mempunyai sasaran terhadap tingkah laku murid agar tidak meniru semasa peperiksaan dijalankan. Apabila telah berulang kali tingkah laku yang sama berulang, guru akan merasa kecewa, rasa putus asa dan akhirnya menyebabkan guru bertindak diluar kawalan dan batasan. Penambahan masalah ini akhirnya mengundang kemarahan guru dan mengambil jalan merotan dan memukul murid berkenaan.

3.2.5     MURID YANG TIDAK MENGHORMATI GURU
Dalam era modenisasi kini, murid kurang menghargai dan menghormati perasaan guru. Guru yang bersemangat mendidik anak bangsa seringkali dikejutkan dengan tindakan murid diluar jangkaan seperti memancitkan dan mencoteng kereta guru, memandang sinis guru, tidak menyiapkan kerja sekolah yang diarahkan, tidak mematuhi arahan, melanggar disiplin sekolah dan sebagainya. Bagi golongan guru yang tidak mempunyai kekeuatan emosi lebih mudah mereka memilih jalan dengan cara merotan atau memukul murid sebagai penyelesaian kepada permasalahan tingkah laku murid yang kurang disenangi.

3.2.6     MURID YANG MEMPUNYAI MASALAH DISIPLIN
Masalah disiplin di sekolah sering menjadi bahan perbualan. Tindakan guru-guru mengambil tindakan terhadap pelajar yang melakukan kesalahan disiplin kerap dipertikaikan oleh ibu bapa. Berpunca daripada masalah disiplin, pelbagai kesan sosial dan jenayah juvana turut berani dilakukan oleh pelajar.  Mengikut Mohd Bukhari (2010);

“……statistik yang dikeluarkan  oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) yang dipengerusikan oleh  Datuk Dr. Maximus Ongkili, Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahawa peratusan kes jenayah di kalangan pelajar meningkat tahun 2005  iaitu 5, 543 berbanding pada  tahun 2004 sebanyak 5,140.  Dalam statistik yang lain pula, mengikut Polis Diraja Malaysia (PDRM), peratusan disiplin moral dikalangan pelajar sedikit menurun iaitu 1.74 peratus daripada 5.5 juta pelajar pada 2005 berbanding 2 peratus pada 2004. Peratusan ini walaupun nampak kecil, akan tetapi ianya mewakili 100, 000 bilangan pelajar daripada 5.5 juta. Bilangan yang kecil ini sepatutnya tidak menyebabkan kita berasa selamat dan selesa, ini kerana bilangan 100, 000 ini boleh mempengaruhi bilangan yang ramai itu.”

Keterangan di atas jelas menunjukkan keseriusan masalah disiplin. Maka pendekatan yang holistik seperti  tindakan merotan diperlukan bagi mengenalpasti punca dan mengatasinya serta usaha yang berterusan daripada semua pihak mampu mengubah keadaan ini.

3.3 NILAI ETIKA KEGURUAN YANG PERLU DIPATUHI BAGI MENYELESAIKAN MASALAH ATAU ISU
Guru memainkan peranan yang penting dalam membentuk watak, sahsiah dan modal murid. Usaha ini perlu dimulakan dengan mewujudkan sekolah dengan watak yang dapat dibanggakan oleh murid-murid, ibu bapa dan masyarakat setempat. Menurut Abdul Shukor (1999), asuhan guru yang berkesan meninggalkan ingatan dan menjadi amalan berpanjangan kepada setiap murid (Syed Ismail & Ahmad Subki, 2010). Sepanjang hayat, mereka akan ingat bagaimana guru-guru menerap ilmu pengetahuan budaya dan semangat ketahanan, nilai-nilai murni dan jati diri sehingga sebati dalam jiwa.


3.3.1     TAAT SETIA
Etika utama yang perlu diberikan perhatian dalam masalah atau isu ini adalah taat setia. Segala apa yang dilakukan oleh manusia semuanya dikira sebagai ibadah termasuk ketaatan dan tanggungjawab kepada Allah, Rasul, ketua, keluarga, organisasi dan negara.  Dalam menangani isu tersebut nilai taat setia perlu untuk dihayati oleh setiap guru demi mempertahankan kedaulatan negara dan bangsa. Bagi menentukan nilai ini dipatuhi dalam perkhidmatan awam, setiap guru dikehendaki mematuhi tata kelakuan serta ikrar yang termaktub dalam beberapa peruntukan yang berkenaan. Kesanggupan untuk berkhidmat dengan kerajaan hendaklah disertakan dengan semangat keikhlasan, kerelaan dan kesetiaan kepada Raja, negara dan kerajaan. Justeru itu, sekiranya etika taat setia ini dihayati dengan mendalam oleh semua guru isu guru merotan murid hingga trauma ke sekolah tidak akan berlaku lagi.


3.3.2     AMANAH
Amanah bermaksud sesuatu yang diberikan kepercyaan kepada orang lain untuk melaksanakannya. Orang yang tidak amanah dianggap telah melakukan sesuatu pengkhianatan dan juga penipuan. Guru yang amanah haruslah mengelak daripada melakukan perkara-perkara seperti menyalahgunakan kuasa dan kedudukan. Justeru itu, sekiranya semua guru menghayati nialai amanah ini masalah seperti murid dipukul dan dirotan oleh guru dapat dielakkan.


3.3.3     BERAKAUNTABILITI
Setiap guru perlu mengutamakan kabajikan dan keselamatan murid daripada hal-hal lain. Ciri ini adalah merupakan hasrat yang sepatutnya diamalkan. Sepatutnya guru mengimbangi antara kecemerlangan akademik dengan kebajikan dan keselamatan murid. Etika sudah ada secara teori tetapi guru juga mempunyai aspirasi tersendiri.

            Guru juga harus bersikap adil terhadap setiap orang murid tanpa mengira faktor jasmani, mental, emosi, politik ekonomi, social, keturunan atau agama. Sepatutnya semua guru bersikap adil dan saksama ke atas semua murid dengan mengetepikan unsur-unsur lain.

            Dalam melaksanakan tanggungjawab ini guru juga harus hendaklah sentiasa mengelakkan diri dari menggunakan atau dipengaruhi oleh kedudukan sosio ekonomi murid. Pada kaca mata guru sepatutnya semua murid adalah sama dan tidak perlu diberi keutamaan kepada mana-mana murid.


3.3.4     BERKECUALI
Guru seterusnya juga perlu menunjukkan sifat berkecuali. Maksud berkecuali pula ialah melaksanakan tugas dan tanggungjawab tanpa sebarang pengaruh dan terlepas daripada sebarang tekanan luar berkaitan dengan tuntutan tugas awamnya. Guru dikehendaki melaksanakan tugas mereka tanpa membawa apa-apa bentuk pengaruh atau tekanan luar berhubung dengan sesuatu tuntutan yang berkaitan dengan tugasnya.


3.3.5     BERSEDIA DAN BERUSAHA BERSUNGGUH-SUNGGUH
Guru juga dikehendaki sentiasa bersedia dan berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan semua dasar, program dan aktiviti yang telah dirancangkan oleh pihak kerajaan yang memerintah. Ini bererti bahawa menjadi anggota Perkhidmatan Awam memerlukan pengorbanan dari seorang guru. Sekiranya nilai ini dihayati dengan jujur dan ikhlas, maka tindak tanduk serta keputusan yang diambil oleh guru akan dihormati oleh murid dan ibu bapa kerana keputusan tersebut pasti adil dan saksama serta mengikut peraturan yang ditetapkan.


4.0          IMPLIKASI ISU ATAU MASALAH
Sekiranya masalah isu merotan murid ini tidak dikawal dan diambil tindakan sewajarnya, mungkin masalah ini akan menjadi isu atau bualan hangat masyarakat. Kesan dan akibat daripada perbuatan tingkah laku guru ini bukan sahaja akan memberi kesan kepada guru tersebut sahaja tetapi turut member kesan kepada guru-guru lain, sekolah dan organisasi pendidikan di negara kita.


4.1         TERHADAP MURID
Kesan daripada akibat perbuatan guru berkenaan bukan sahaja mencemarkan nama baik guru berkenaan tetapi turut memberi kesan terhadap murid berkenaan dan murid yang lain. Kesan daripada isu tersebut bukan sahaja menyebabkan murid berkenaan trauma untuk datang ke sekolah tetapi turut menyebabkan murid-murid yang lain berfikiran negatif terhadap guru berkenaan. Hal ini akan menyebabkan murid-murid akan berasa takut untuk mengikuti kelas atau pengajaran dan pembelajaran yang dilaksnakan oleh guru terbabit. Selain itu, kesan daripada dirotan juga murid berkenaan turut mengalami kecederaan dan sekiranya masalah ini tidak dibendung dan peraturan merotan seperti yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia tidak diikuti sebagaimana yang telah digariskan mungkin akan menyebabkan ramai lagi pelajar yang menjadi mangsa.


4.2         GURU-GURU
Sebagai seorang yang professional, maka sudah tentulah seseorang guru perlu menjaga profesion perguruan dan maruah seseorang guru. Menurut Mohd Najib (1996) dalam Syed Ismail & Ahmad Subki (2010), untuk mencapai hasrat kita ke arah mewujudka ‘world class education’ dan seterusnya ‘world class nation’, kita memerlukan gabungan tenaga, pemikiran dan daya kreatif dari setiap warga kementerian. Dalam usaha untuk memelihara etika perguruan ini, semua guru seharusnya tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan tugas sebagai guru.

            Dalam isu ini akibat daripada perbuatan guru yang tanpa usul periksa merotan murid berkenaan menjejaskan nama baik guru terhadap profesion perguruan terutamanya apabila berita kurang baik ini berleluasa disebarkan di dada-dada akhbar. Selain itu, akibat daripada tindakan guru terbabit, guru-guru yang lain juga menerima tempiasnya terutamanya guru-guru yang berada di sekolah berkenaan di mana akan dipandang serong oleh masyarakat setempat.


4.3        TERHADAP SEKOLAH
Sekiranya budaya merotan ini diamalkan secara berleluasa tanpa usul periksa serta tidak mengikut seperti apa yang digariskan oleh Kementerian pelajaran Malaysia, masyarakat tidak lagi mengganggap sekolah sebagai sebuah institusi yang selamat untuk mereka menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan di sekolah dan sekolah tidak lagi dianggap sebagai institusi pendidikan yang memberi pendidikan berkualiti kepada murid-murid.


4.4         TERHADAP PROFESION PERGURUAN
Selain itu, isu ini turut memberi kesan kepada profesion perguruan yang menyebabkan generasi muda tidak lagi berminat untuk menjadi guru dan ini akan mengakibatkan profesion ini kekurangan generasi muda yang berbakat untuk mendidik anak bangsa. Kesannya kerajaan tidak dapat melahirkan guru-guru yang berkemahiran dalam pelbagai aspek kerana kekurangan generasi muda yang ingin menceburi bidang ini. Mengikut Lilia dan Norlena (1998), penyusutan kuasa untuk menjalankan tugas secara professional menyebabkan profesion perguruan menurun di kaca mata masyarakat.


5.0         RUMUSAN
Masalah isu guru merotan murid atau memukul berkait rapat dengan kegagalan guru memenuhi keperluan psikologi dan keperluan fisiologi. Kegagalan untuk memenuhi keperluan psikologi dan fisiologi ini menyebabkan guru tersebut memilih jalan yang salah iaitu bertindak di luar kawalan.

            Walaubagaimanapun kenalan sebahagian pelajar pada hari ini mengarahkan kepada bentuk jenayah seperti samseng di sekolah, pergaduhan, memiliki bahan lucah dan penyalahgunaan dadah. Bahkan ada pelajar yang berani mengugut guru yang cuba mendisiplinkan mereka. Fenomena ini tentunya mencemaskan semua pihak dan pencegahan perlu dilakukan dengan segera sebelum ianya menjadi parah. Mungkin salah satu cara pencegahannya ialah melalui hukuman yang berat seperti rotan. Hukuman ini walaupun dibenarkan, guru yang berkenaan sewajarnya menyelidik terlebih dahulu dan mengambil tindakan sewajarnya sebelum membuat sesuatu tindakan. Menurut Saidul Amin (2003) hukuman rotan ini walaupun dibenarkan, namun ada pihak yang tidak berpuas hati dan beranggapan ia cara lama yang tidak sesuai pada zaman ini.


6.0            REFLEKSI
Semasa menyelesaikan masalah atau mengupas isu berkaitan dengan masalah guru yang merotan murid yang menyalahi peraturan merotan murid yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, apa yang dapat saya rumuskan ialah sebagai seorang guru kita hendaklah menyelidik terlebih dahulu sesuatu masalah atau isu sebelum mengambil tindakan supaya masalah seperti isu ini tidak berulang lagi. Selain itu, saya juga dapat menyelami dengan lebih mendalam nilai dan etika keguruan yang perlu ada dalam setiap pendidik dengan lebih mendalaman.

            Selain itu, apa yang dapat saya cadangkan dalam menyelesaikan isu berkenaan ialah, guru besar haruslah memainkan peranan supaya nama baik dan reputasi sekolah berkenaan terpelihara. Sewajarnya ibu bapa tidah harus meloporkan masalah ini terus kepada liputan media masa tetapi merujuk terlebih dahulu kepada pihak pentadbir di mana murid berkenaan bersekolah. Sekiranyanya mana-mana pihak di dapati bersalah masalah ini bukan sahaja mengaibkan individu berkenaan tetapi masyarakat serta individu yang berdekatan turut menerima tempiasnya.

            Cabaran semasa menyelesaikan masalah ini ialah mencari sebab atau faktor yang mempengaruhi guru berkenaan bertindak sedemikian. Walaupun merotan boleh dilaksanakan di sekolah-sekolah tetapi apa yang saya perolehi semasa menyelesaikan isu ini ialah kuasa merotan murid hanya terletak pada guru besar dan guru-guru yang telah diberi kuasa merotan. Jadi sebagai pendidik sewajarnya guru harus berhati-hati dalam melaksanakan hukuman dan tindakan terhadap murid.

            Oleh yang demikian, sewajarnya guru-guru pada era globalisasi kini harus berhati-hati dalam melaksanakan tindakan kepada murid agar isu seperti ini tidak sewenang-wenangnya digembar-gemburkan di dada-dada akhbar. Kesan daripada liputan media masa ini bukan sahaja menjejaskan reputasi guru berkenaan tetapi kementerian dan seluruh profesion perguruan turut menerima tempiasnya.


BIBILIOGRAFI

Kamus Dewan Edisi 3. (1996) . Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka

Mohamad Bukhari Bin Mat Ghani (2010). Masalah Disiplin Pelajar Sekolah Di     Daerah Kulaijaya. University Teknologi Malaysia. Diperolehi pada 15 Ogos        2012 daripada http://www.fp.utm.my/epusatsumber/pdffail/ptkghdfwp/mohdbukhariap060329d2010ttp.pdfmohdbukhariap060329d2010ttp.pdf

Nazariah Binti Ab Samad (2011). Etika Profesion Perguruan. Tanjung Malim:        Universiti Pendidikan Sultan Idris. Diperolehi pada 13 Ogos 2012 daripada http://www.scribd.com/doc/73824281/Tugasan-3-pembangunan-sahsiah

Sajap Maswan, Jamilah Din & Rodzita Osman (2004). Konsep Kendiri Pelajar Yang       Telah Menjalani Hukuman Rotan di Sekolah Menengah di Daerah Kerian.       Diperolehi pada 18 Ogos 2011 daripada             http://www.sajadstudio.info/articale/hukuman_rotan.pdf

Surat Pekeliling Iktisas Bil:7/2003. Kuasa Guru Merotan Murid. Kementerian         Pelajaran Malaysia. Diperolehi pada 17 Ogos 2012 daripada             http://sksgrokam.edu.my/portal/downloads/rotanmurid.pdf

Syed Ismail & Ahmad Subki (2010). Asas Kepimpinan dan Perkembangan            Profesional. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Utusan Malaysia (2011). Murid Dirotan Trauma Ke Sekolah. Diperolehi pada 4 Ogos      2011daripada http://www.utusan.com.my/