Tuesday

ANALISIS ISU : BEBAN TUGAS GURU DI SEKOLAH MEMBAWA PADAH

Oleh : Siti Nur Hidayah binti Mohd Shafie     
P
  Pengenalan
Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Begitulah perumpamaan yang sangat sinonim dengan situasi guru – guru pada masa kini. Pelbagai tugas dan beban diberikan sehari demi sehari bagi memenuhi tuntutan semasa.  Guru juga menjadi agen perubahan masyarakat madani yang menerima pelbagai cabaran di era globalisasi yang semakin pesat membangun. Tambahan, negara meletakkan sasaran yang tinggi dalam menjana ekonomi semasa untuk membolehkan negara bersaing di pasaran global. Matlamat ini memberikan tempias kepada bidang pendidikan khususnya warga pendidik.

Jika diteliti beberapa isu dalam bidang pendidikan termasuk isu – isu keguruan yang turut disiarkan di akhbar – akhbar antaranya Beban tugas : Ramai guru terdedah risiko penyakit kritikal ( Utusan  Malaysia, 2008 ) dan Guru tiada masa untuk keluarga ( Harian Metro, 2010 ) jelas memperlihat bahawa guru turut menanggung beban tugas yang kritikal sehingga membawa mudarat bukan sahaja kepada diri sendiri malah keluarga dan masyarakat. Hakikatnya isu ini memang berlaku namun tiada pihak yang sedar akan kesan dan kemudaratan yang boleh mencemarkan profesion keguruan.




2.0         Situasi beban tugas guru

Saya tertarik dengan keratan akhbar berhubung dengan isu Ramai guru terdedah kepada risiko penyakit kritikal ( Utusan  Malaysia, 2008 ). Apakah situasi sebenar yang berlaku di dalam dunia pendidikan kini terutamanya rutin harian bagi warga pendidik? Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata , semakin banyak guru mengalami tekanan perasaan dan terdedah kepada risiko penyakit barah, jantung dan darah tinggi. Hal ini berdasarkan jumlah tuntutan insurans yang dibuat dalam kalangan pendidik sejak lima tahun yang lepas. Rekod menunjukkan jumlah pertambahan bagi penyakit kritikal yang melibatkan guru pada setiap tahun dan situasi ini amat menakutkan khususnya bagi warga pendidik.

Stres kerja yang tinggi di kalangan guru telah mengakibatkan permasalahan-permasalahan yang serius yang berhubung kait dengan faktor-faktor seperti gangguan emosi, perubahan dalam tingkah laku dan “burn out” yang menghalang mereka daripada melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih berkesan (Dunham, 1976; Kyriacou dan Sutcliffe, 1978). Malah Murdock dan Scott (1993) mendapati bahawa stres di tempat kerja berlaku sebagai satu tindak balas terhadap kehendak persekitaran organisasi seseorang individu yang tidak selaras ataupun ketidakupayaannya untuk mengawalnya. Dalam hal ini, kecerdasan intelektual atau IQ semata-mata tidak memadai untuk menangani stres. Sebaliknya kecerdasan emosi (EQ) yang akan menjadi penentu kejayaan menangani stres.
Selain itu, peranan guru bukan sahaja bertindak sebagai penyampai ilmu malah hakikatnya guru perlu bertugas tidak mengira waktu seperti profesion seorang doktor dan arkitek. Saya mengatakan sedemikian kerana berdasarkan keratan akhbar  berjudul Guru tiada masa untuk keluarga ( Harian Metro, 2010 )  menyatakan sedang penjawat awam kelam kabut menuju ke mesin perakam waktu, guru – guru sudah ada di sekolah seawal jam 7 pagi. Tidak dinafikan guru – guru boleh pulang dari sekolah seawal tamatnya sesi persekolahan. Namun, tugas guru tidak berhenti di situ. Bagi menyediakan persiapan pengajaran yang rapi untuk keesokan harinya guru perlu menyambung tugas di sekolah bukan sahaja untuk persiapan pengajaran malah lain – lain hal seperti mesyuarat, kursus dan aktiviti – aktiviti lain memerlukan komitmen guru tanpa mengira waktu.

Bercakap soal waktu bertugas guru, banyak pihak yang turut mempertikaikan kelebihan profesion ini bersama ganjaran iaitu gaji yang lumayan. Hakikatnya dalam waktu yang sama, kesediaan dari segi mental dan fizikal amat mencabar profesion ini kerana guru bukan sahaja mengajar kurikulum berkaitan malah kemahiran – kemahiran yang lain seperti kesukanan, pengurusan, pengawasan, kreativiti, kemahiran ICT dan pertukangan turut memerlukan khidmat guru di sekolah. Siapa tahu guru juga menjadi tenaga buruh dan petani yang banyak menyumbangkan nama baik sekolah walhal banyak tenaga dan komitmen lain masih diperlukan.
Isu beban tugas guru ini memang sukar difahami masyarakat umum melainkan ada dalam kalangan keluarga atau rakan mereka terbabit dalam kerjaya itu. Tidak seperti kebanyakan kerjaya lain, tugas guru tidak terikat kepada waktu persekolahan. Selain terpaksa membawa kerja balik ke rumah, guru kadang kala terpaksa membuat kerja yang tidak ada kaitan dengan tugas mengajar seperti menghadiri mesyuarat sekolah, mengikuti program peringkat daerah atau peringkat negeri atau wakil pengetua atau guru besar.

Di samping itu, mereka juga terpaksa melakukan penyeliaan dan bimbingan aktiviti kokurikulum seperti persatuan, sukan dan badan beruniform. Ini tidak termasuk mengiringi pelajar menyertai program di luar sekolah yang mungkin mengambil masa beberapa jam mahupun beberapa hari. Semua ini dilakukan tanpa kemudahan bayaran lebih masa, tuntutan perbatuan yang dicatu mahupun lebihan masa yang digunakan untuk tugas rasmi diganti sebagai cuti rehat pada keesokan harinya. 


3.0         Punca situasi

Pada majlis pelancaran Sambutan Hari Guru 2010 Peringkat Kebangsaan Ke-39, Tahun lepas, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan empat syor jawatankuasa khas itu yang boleh dilaksanakan segera untuk meringankan beban tugas guru.
Beliau berkata, syor itu ialah mengurangkan bilangan jawatankuasa pada peringkat sekolah kepada jumlah lebih wajar, mengkaji semula bilangan peperiksaan dan ujian yang menjadi antara punca pertambahan beban tugas guru, menyusun semula tugas perkeranian di sekolah dan kursus yang perlu dihadiri oleh guru diselaraskan pada peringkat kementerian supaya tidak berlaku pertindihan.

            Walau bagaimanapun, sehingga hari ini belum dapat dilihat sebarang hasil dan kesannya terhadap guru. Bahkan guru semakin bertambah kerja. Sekiranya usaha ini dilaksanakan ke dalam sistem pengurusan sekolah sudah tentu beban tugas guru semakin berkurang dan guru dapat memberikan fokus terhadap tugas dalam bidang kurikulum.
           
            Kerja manual masih wajib dan kerja digital pun kena buat. Sebagai contoh :

1.    Maklumat Murid
o    Kena direkodkan dalam buku besar pendataran pelajar
o    Kena direkodkan dalam buku kedatangan
o    Kena direkodkan dalam kad 001
o    Kena direkodkan dalam SSM
o    Kena direkodkan dalam BBM
o    Kena direkodkan dalam fail KOKO

2.    Maklumat ujian dan peperiksaan
o    Kena direkodkan dalam buku ringkasan mengajar
o    Kena direkodkan dalam borang TOV
o    Kena direkodkan dalam ISIS (Sistem maklumat peperiksaan dalaman)
o    Kena direkodkan dalam SISPA/SASP (Sistem maklumat peperiksaan online)
o    Kena direkodkan dalam borang analisis item


Selain itu, permasalahan ini turut berlaku kerana dunia globalisasi kini memerlukan sistem bertindak sedemikian.

“ Perkembangan ekonomi pada hari ini adalah pesat. Demikian juga dalam bidang sosial. ... kita berhadapan dengan pelbagai unsur dari dalam dan luar. ... kebanyakan dari unsur ini adalah baik, tetapi ... yang didatangkan dari luar, yang tidak menyenangkan. Oleh itu, kita menghadapi satu cabaran lain, iaitu pembangunan kemanusiaan. “
                                                                         (Laporan Kabinet. 1979 : 226)

Bidang pendidikan menerima pengaruh persekitaran dari kemasukan globalisasi secara terbuka apabila sumber dan media pengajaran dan pembelajaran turut menggunakan kemudahan teknologi pada hari ini seperti penggunaan ICT. Jika dahulu guru banyak menggunakan alat – alat bantu mengajar yang pelbagai tapi kini guru hanya memerlukan sebiji komputer dan pemancar LCD untuk media pengajaran yang lebih interaktif. Murid juga turut terlibat dalam proses pelajaran berbantukan Teknologi Maklumat dan Komunikasi secara lansung. Perubahan ini jelas diterima oleh sekolah – sekolah seluruh Malaysia walaupun usaha untuk memperkasakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi ( TMK ) ini masih diperingkat asas.

Globalisasi dalam pendidikan turut menjelaskan beberapa cabaran yang perlu diterima oleh warga pendidik. Kredibiliti dan akauntabiliti guru semakin mencabar tugas sebagai seorang pendidik. Amanah yang dipikul semakin terbeban dengan pengagihan masa yang begitu padat antara tanggungjawab kepada murid dan tanggungjawab kepada lain – lain hal yang berkaitan dengan sistem pendidikan kini. Globalisasi telah memberikan cabaran kepada pembentukan jati diri yang tinggi dalam kalangan murid. Kesan yang paling ketara akibat pengaruh globalisasi adalah perubahan gaya hidup terutama dalam kalangan anak-anak remaja di bangku sekolah yang begitu terpengaruh dengan amalan negatif kehidupan Barat.

Oleh itu, semua institusi pendidikan menghadapi cabaran untuk meletakkan anak-anak remaja di landasan moral yang betul menurut acuan tempatan melalui pelaksanaan program-program pendidikan nilai di sekolah. Aspek yang perlu diteliti adalah aspek berkaitan keperibadian guru, budaya sekolah dan aktiviti-aktiviti ko-kurikulum kerana perkara tersebut memberi impak tersendiri dalam pembentukan moral pelajar.


4.0         Langkah mengatasi

Pihak yang paling berpengaruh menerima cabaran dalam dunia pendidikan kini ialah guru. Profesionalisme guru menjadi aset utama yang akan dipersoalkan dalam dunia globalisasi pada masa kini. Oleh hal yang demikian, guru perlu memiliki kualiti yang bersifat kontemporari dan releven dengan zamannya. Robiah (1994) dalam Habib & Megat (2008) mencadangkan beberapa kriretia guru yang perlu dimilki agar mereka mempunyai kesediaan dan mampu menghadapi perubahan zaman seperti berikut:

·         Berupaya memimpin perubahan di sekolah di mana guru itu bertugas
·         Mengutamakan daya pengeluaran tinggi dalam bidang kerjayanya
·         Sentiasa mengikut peredaran zaman
·         Memahami perkembangan teknologi
·         Mempunyai sifat berani, mahu mencuba idea baru dan inovatif.

Berdasarkan kriteria – kriteria ini, guru bukan lagi satu profession yang dianggap mudah malah professionalisme keguruan boleh dipertikai buat masa kini berdasarkan keperluan semasa. Cabaran yang dipikul semakin besar di samping memenuhi keperluan sosial yang sangat pantas berkembang.

“ Antara cabaran paling besar yang dihadapi guru dan pendidik masa kini ialah sama ada mereka memiliki kecekapan yang secukupnya dalam mempersiapkan dan membentuk generasi akan datang,” kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah dalam akhbar Berita Harian. Hal ini bermakna para pendidik kini berhadapan dengan cabaran yang lebih besar berbanding dengan era sebelum ini.

Namun, bagi kebanyakan guru, beban itu tidak pernah dipertikaikan kerana menyedari mereka sudah memilih kerjaya yang tanggungjawabnya menjangkaui waktu kerja. Walaupun begitu penyelesaian harus dicari bagi meringankan beban ini kerana lambat laun ia akan menjejaskan kesihatan dan kecergasan guru itu sendiri, selanjutnya memberi kesan negatif kepada murid. Apa sekali pun, kita yakin Kementerian Pelajaran akan mengambil kira kebajikan guru dalam menilai buruk baiknya penetapan waktu kerja sembilan jam ini sebelum membuat keputusan untuk melaksanakannya.


Cadangan kerajaan untuk melaksanakan program perintis sistem kerja sembilan jam bagi guru mulai Januari ini yang ditolak Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menjadi isu terbaru yang hangat dibincangkan kelompok keguruan sekarang. Bagi kesatuan terbabit, cadangan menetapkan tempoh waktu kerja bagi guru adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Alasan bagi menyokong pendirian ini ialah tugas guru tidak tamat selepas waktu persekolahan. Kementerian Pelajaran pula mahu guru bersikap terbuka terhadap cadangan itu. 

Mengehadkan murid kepada hanya 25 orang bagi setiap kelas di sekolah rendah dan menengah adalah antara 40 cadangan mengatasi beban tugas guru yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan Kementerian Pelajaran bagi mengkaji masalah berkenaan. Ia berdasarkan kajian ilmiah yang pernah dilaksanakan dengan mengambil kira model sekolah di negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia yang menunjukkan 25 pelajar bagi setiap kelas adalah jumlah yang ideal untuk membolehkan guru memberi tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran secara berkesan. Menurut sumber, ia adalah antara 40 cadangan yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Lagi cadangan yang dapat membantu mengurangkan beban guru ialah satu lagi cadangan ialah kementerian mematuhi pekelilingnya dengan memastikan ada guru ganti bagi mengisi kekosongan untuk guru cuti bersalin atau berkursus bagi tempoh lama dan bukan dibebankan kepada guru lain.
Cadangan lain ialah pengagihan tugas yang sama rata kepada semua guru di sekolah dan bukan hanya kepada kumpulan tertentu semata-mata berdasarkan ‘siapa boleh buat kerja.’ 

            Jawatankuasa berkenaan juga mencadangkan supaya kementerian menambah dua lagi kerani di sekolah yang murid melebihi 500 orang dan pentadbiran sekolah diberi kebebasan menentukan pembabitan dalam program anjuran pihak luar tanpa dikenakan sebarang tindakan.

            “Ketika ini, sekolah terpaksa akur jika ada arahan menyertai program anjuran pihak luar, walaupun kadang kala ia diadakan secara mengejut. Ini membebankan guru kerana pada masa sama mereka terpaksa menjalankan program lain yang sudah diatur terlebih dulu dalam takwim sekolah,” katanya.

Demi menyokong hasrat murni negara untuk  mencapai taraf pendidikan yang tinggi selaras dengan usaha negara ke arah pembangunan ekonomi secara global, semua pihak seharusnya memainkan peranan sebagai agen perubahan dan nadi penggerak kepada sistem pendidikan negara. Memandangkan negara mensasarkan peningkatan ekonomi sehingga meletakkan pelaburan yang tinggi ke atas sistem pendidikan, maka Negara seharusnya bertanggungjawab bagi kemajuan dan perkembangan pendidikan. Ini tidak bermakna semua sekolah diurus oleh kerajaan tetapi pendidikan seharusnya ditadbir menggunakan dana awam. Justeru pihak awam harus juga terus mengawal pendidikan, menentukan piawaiannya dan pengagihan sumbernya.

Guru pula akan terus menjadi wadah utama dalam pendidikan dan kualiti pendidikan banyak bergantung kepada kualiti pengajaran guru dan usaha guru itu sendiri. Seperti juga perkara lain dalam ekonomi global di mana guna tenaga berpengetahuan merupakan kunci utama kepada pengeluaran barangan yang bermutu, maka begitu juga industri ilmu pengetahuan juga akan bertambah kebergantungan kepada modal insan iaitu guru. Guru menjadi penggerak kepada arus perubahan sesebuah zaman yang terus membangun tanpa menunggu kesediaan seseorang guru.

Begitu juga peranan ibu bapa yang semakin berat kerana perkembangan globalisasi ini tidak akan menunggu masyarakat untuk menerimanya atau tidak. Atas keperluan dan kepentingan bersama, ia harus memenuhi pasaran ekonomi global negara. Tidak dapat dinafikan rata – rata masih ada ibu bapa yang tidak terdedah terhadap perkembangan globalisasi ini dan mereka tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana ada pihak lain yang boleh bertanggungjawab ke atas kebajikan anak – anak pada masa kini iaitu guru.

Sebagai kesimpulan, semua pihak termasuk kerajaan, ibu bapa, guru dan masyarakat harus menggembleng tenaga dan saling memberikan buah fikiran yang bernas untuk kebaikan anak bangsa bersama. Demi manyahut cabaran Wawasan 2020, pelbagai aspek perlu diberi perhatian termasuk bidang pendidikan selain tumpuan kerajaan terhadap sumber manusia dan pembangunan sosial yang lain. Kestabilan kedudukan dan prestasi yang baik dari setiap aspek keperluan negara membantu Malaysia menjadi sebuah negara maju yang mampu berdaya saing dengan negara-negara lain.

No comments:

Post a Comment