OLEH : SITI FAIZAH BINTI HASSAN
1.0 PENGENALAN
Mengikut kamus dewan edisi ketiga, etika membawa maksud satu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan. Menurut kamus Oxford pula, etika ialah prinsip moral atau set prinsip moral. Profesion pula bermaksud pekerjaan terutamanya yang memerlukan pelajaran yang tinggi dan latihan yang khas misalnya dalam bidang undang-undang, seni bina, perubatan, perakaunan dan lain-lain. ‘keguruan’ pula membawa maksud tugas dan tanggungjawab (kerjaya) sebagai guru. Kesimpulannya, etika guru dalam pendidikan ini adalah sangat penting. Etika pelajar yang diajar oleh seorang guru yang tidak bersahsiah mencerminkan diri seorang guru yang tidak beretika. Guru yang baik dan beretika akan melahirkan generasi yang baik dan berjaya.
Begitu juga dengan isu etika guru bukanlah cerita baru yang menghiasi dada akhbar dan kini sering dibicarakan di kaca televisyen. Profesion perguruan hari ini dilihat semakin goyah kerana ada segelintir golongan guru yang melanggar kod etika keguruan yang telah termaktub. Ini jelas apabila semakin banyak isu salah laku guru tersiar di kaca televisyen, menjadi topik perbincangan pihak tertentu dan menghiasi dada-dada akhbar. Terdapat pelbagai jenis salah laku yang dilakukan oleh guru yang mana bukan hanya melanggar etika profesion perguruan tetapi juga telah terlibat dengan akta jenayah negara. Ini sudah tentu akan mencemarkan martabat profesion perguruan sebagai satu profesion yang mulia pada pandangan masyarakat.
2.0 ANALISIS ISU
Isu yang saya pilih disini bertajuk “Murid dirotan
trauma ke sekolah”. Isu ini adalah berkaitan dengan seorang murid tahun empat
di sebuah sekolah di Kuala Besut yang cedera di belakang badannya akibat di
rotan oleh gurunya di sekolah. Menurut berita Utusan bertarikh 29 Januari 2011
murid berkenaan dikatakan dipukul oleh guru berkenaan akibat daripada perbuatan
mangsa yang dikatakan menjenguk seorang rakannya yang sedang menjawab kertas
ujian. Akibat daripada perbuatan tersebut guru berkenaan dikatakan secara
tiba-tiba meluru ke arah pelajar berkenaan dan terus merotan apabila selesai
menduduki ujian. Murid berkenaan dikatakan dipukul sekali lagi sebelum sempat
mangsa menjawab soalan guru berkenaan sama ada
murid terbabit sakit atau tidak.
Walaubagaimanapun,
mangsa yang kesakitan akibat dirotan kemudian dibantu oleh guru kelas menyapu
ubat pada kesan luka dibelakangnya sebelum kes terbabit dirujuk kepada guru
besar. Berikutan kejadian terbabit, murid terbabit dikatakan trauma untuk
kembali ke sekolah dan masih terkejut selain mengalami kesakitan akibat dirotan
guru terbabit.
3.0
PERKEMBANGAN
3.1 HUKUMAN MEROTAN
Merotan atau memukul sebagai satu cara mendidik sebenarnya bukanlah
perkara baru. Menurut Sajap Maswan dan rakan (2004), mengatakan;
“Di
Amerika, merotan dan cara dendaan fizikal yang lain adalah perkara biasa pada
masa lalu. Blair G.M, at.el (1975) melaporkan bahawa pada awal abad ke 20, di
sebuah sekolah…..yang mempunyai 250 guru, terdapat 328 kes merotan pada suatu
minggu, atau purata 65 kes merotan setiap hari. Di sebuah sekolah yang lain
pula, lapan belas orang murid lelaki dirotan selama dua jam di hadapan seorang
dewasa atau orang yang tidak dikenali. Ada seorang guru tua memberitahu, bahawa
pada hari pertama beliau mengajar, dia merotan setiap orang murid yang ada di dalam kelasnya.”
Mengikut pekeliling dan
peraturan sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia, salah laku murid boleh
dikategorikan kepada tiga jenis iaitu kesalahan berat, kesalahan sederhana dan
kesalahan ringan. Melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003 bertarikh 29
Oktober 2003 telah mengariskan 35 kesalahan berat yang membolehkan pelajar yang
melanggar kesalahan tersebut diberi hukuman rotan di punggung. Antara kesalahan
yang di katogerikan sebagai ‘berat’ ialah seperti menyimpan, membawa, menghisap
atau terbabit dalam kegiatan dadah, membawa menyimpan, menghisap atau mengedar
bahan tembakau dan membawa, meminum, menyimpan atau mengedar minuman keras atau
sebarang benda yang memabukkan atau menghayalkan. Selain itu, biadap terhadap
guru, pengawas dan murid lain juga turut dikategorikan sebagai kesalahan berat.
Turut disenaraikan sebagai kesalahan berat ialah membuli, berjudi, mencuri
serta mencetak, menerbit, mempamer, mengedar, menyimpan rencana, majalah atau pita
rakaman dan multimedia terlarang. Jika didapati bersalah, pelajar berkenaan akan
dirotan di punggung menggunakan rotan ringan maksimum tiga kali.
Di dalam tradisi
Pendidikan Islam, Rasulullah membenarkan kaedah rotan di dalam mendidik anak.
Dalam salah satu hadis baginda bersabda maksudnya, “Ajar anakmu untuk belajar
mengerjakan solat apabila berumur tujuh tahun. Pukul dia andai kata enggan
melakukan solat itu pada usia 10 tahun”. Berdasarkan hadis ini, jelas bahawa
memukul atau merotan sebenarnya adalah salah satu cara pendidikan yang
dibenarkan dalam Islam. Walau bagaimanapun merotan atau memukul adalah hukuman
yang akhir selepas melalui beberapa peringkat seperti nasihat, peringatan atau
bentuk bimbingan.
Menurut Sajap Maswan dan
rakan (2004), mengatakan pada tahun 1848, sebuah sekolah tinggi di Carolina
Utara menerbitkan satu senarai tingkah laku yang dilarang bersama dengan
hukumannya sekali. Diantara peraturan tersebut ialah;
1. Murid lelaki yang
bermain dengan murid perempuan, empat kali sebat.
2. Berkelahi, empat kali
sebat.
3. Menyimpan kuku
panjang, dua kali sebat.
4. Bercakap kasar, lapan
kali sebat.
3.2 FAKTOR-FAKTOR YANG MENYEBABKAN GURU MEROTAN MURID
BERKENAAN
Dalam mengkaji isu merotan yang dilakukan oleh guru berkenaan, terdapat
beberapa faktor yang dikenalpasti yang memungkinkan guru terbabit mengambil
jalan mudah merotan murid terbabit.
3.2.1 KURANGNYA PEGANGAN AGAMA
Guru tidak menghayati
apa yang diajarkan dalam agama. Agama Islam contohnya menganjurkan agar umatnya
mendidik dengan ikhlas, amanah dan penuh tanggungjawab mengikut seperti panduan
yang digariskan. Menurut Abdullah Nasih Ulwan dari Ibn. Amr bin Al-Ash ra dalam
Zainudin (2010), hukuman rotan adalah agar anak dapat mempelajari hukum-hukum
ibadah sejak dari pertumbuhannya dan sehingga kanak-kanak ini membesar dan ia
akan terbiasa dan berdisiplin untuk mentaati Allah. Seterusnya anak ini akan
mendapat kesucian roh, kesihatan jasmani, kebaikan akhlak di dalam ibadah yang
dilakukan. Walau bagaimanapun merotan atau memukul adalah hukuman yang akhir
selepas melalui beberapa peringkat seperti nasihat, peringatan atau bentuk
bimbingan.
3.2.2 TEKANAN BEBANAN TUGAS
Guru yang menghadapi
tekanan adalah guru yang tidak dapat mengawal emosi mereka terhadap perubahan
budaya pendidikan yang bukan sahaja untuk memberi ilmu pengetahuan tetapi perlu
mendidik manusia agar menjadi modal insan yang berguna kepada masyarakat. Mengikut
Kyriacou & Sutcliffe (1978) dalam Nazariah (2011) menyatakan bahawa tekanan
guru boleh ditakrifkan sebagai perasaan tidak selesa, emosi negatif seperti
marah, kebimbangan, tekanan serta kekecewaan yang berpunca dari aspek kerja
mereka sebagai guru. Dunia pendidikan kini memaksa guru melakukan kerja lebih
masa, perkeranian, menyediakan alat bantu mengajar, menghadiri kursus atau
bengkel sepanjang minggu sambil terpaksa melakukan penyesuaian terhadap kaedah
pengajaran yang baru sehingga mengabaikan emosi dan kehendak dalaman mereka.
3.2.3 KURANG MOTIVASI DARI DALAMAN GURU
Mengikut Nazariah
(2011), tanpa motivasi diri, seseorang guru itu akan mendapat kesan yang tidak
disedari seperti hilang fokus, tiada matlamat yang jelas, hilang minat dan
luntur komitmen dalaman. Guru pada hari ini terbeban dengan hal-hal
persekitaran yang mungkin menyebabkan guru dibelengu rasa kecewa kurang
motivasi, lemah semangat, dihimpit bebanan sehinggakan guru merasa tertekan,
depresi, kurang minat mengajar dan sebagainya.
3.2.4 GANGGUAN EMOSI
Emosi yang tidak
stabil akan menyebabkan kemarahan. Kemarahan yang melampau boleh memberikan
kesan negatif dalam kehidupan sehingga membawa kepada gejala yang tidak sihat
kepada tubuh badan dan pemikiran. Gangguan emosi ini terhasil apabila guru tidak
mencapai keperluan peribadi. Misalnya seorang guru mempunyai sasaran terhadap tingkah
laku murid agar tidak meniru semasa peperiksaan dijalankan. Apabila telah
berulang kali tingkah laku yang sama berulang, guru akan merasa kecewa, rasa
putus asa dan akhirnya menyebabkan guru bertindak diluar kawalan dan batasan.
Penambahan masalah ini akhirnya mengundang kemarahan guru dan mengambil jalan
merotan dan memukul murid berkenaan.
3.2.5 MURID YANG TIDAK MENGHORMATI GURU
Dalam era modenisasi
kini, murid kurang menghargai dan menghormati perasaan guru. Guru yang
bersemangat mendidik anak bangsa seringkali dikejutkan dengan tindakan murid
diluar jangkaan seperti memancitkan dan mencoteng kereta guru, memandang sinis
guru, tidak menyiapkan kerja sekolah yang diarahkan, tidak mematuhi arahan,
melanggar disiplin sekolah dan sebagainya. Bagi golongan guru yang tidak
mempunyai kekeuatan emosi lebih mudah mereka memilih jalan dengan cara merotan
atau memukul murid sebagai penyelesaian kepada permasalahan tingkah laku murid
yang kurang disenangi.
3.2.6 MURID YANG MEMPUNYAI MASALAH DISIPLIN
Masalah disiplin di
sekolah sering menjadi bahan perbualan. Tindakan guru-guru mengambil tindakan
terhadap pelajar yang melakukan kesalahan disiplin kerap dipertikaikan oleh ibu
bapa. Berpunca daripada masalah disiplin, pelbagai kesan sosial dan jenayah
juvana turut berani dilakukan oleh pelajar.
Mengikut Mohd Bukhari (2010);
“……statistik yang
dikeluarkan oleh Yayasan Pencegahan
Jenayah Malaysia (MCPF) yang dipengerusikan oleh Datuk Dr. Maximus Ongkili, Menteri di Jabatan
Perdana Menteri bahawa peratusan kes jenayah di kalangan pelajar meningkat
tahun 2005 iaitu 5, 543 berbanding
pada tahun 2004 sebanyak 5,140. Dalam statistik yang lain pula, mengikut
Polis Diraja Malaysia (PDRM), peratusan disiplin moral dikalangan pelajar
sedikit menurun iaitu 1.74 peratus daripada 5.5 juta pelajar pada 2005
berbanding 2 peratus pada 2004. Peratusan ini walaupun nampak kecil, akan
tetapi ianya mewakili 100, 000 bilangan pelajar daripada 5.5 juta. Bilangan
yang kecil ini sepatutnya tidak menyebabkan kita berasa selamat dan selesa, ini
kerana bilangan 100, 000 ini boleh mempengaruhi bilangan yang ramai itu.”
Keterangan di atas jelas menunjukkan keseriusan
masalah disiplin. Maka pendekatan yang holistik seperti tindakan merotan diperlukan bagi
mengenalpasti punca dan mengatasinya serta usaha yang berterusan daripada semua
pihak mampu mengubah keadaan ini.
3.3 NILAI ETIKA KEGURUAN YANG PERLU DIPATUHI BAGI MENYELESAIKAN
MASALAH ATAU ISU
Guru memainkan peranan yang penting dalam membentuk watak, sahsiah dan
modal murid. Usaha ini perlu dimulakan dengan mewujudkan sekolah dengan watak
yang dapat dibanggakan oleh murid-murid, ibu bapa dan masyarakat setempat. Menurut
Abdul Shukor (1999), asuhan guru yang berkesan meninggalkan ingatan dan menjadi
amalan berpanjangan kepada setiap murid (Syed Ismail & Ahmad Subki, 2010).
Sepanjang hayat, mereka akan ingat bagaimana guru-guru menerap ilmu pengetahuan
budaya dan semangat ketahanan, nilai-nilai murni dan jati diri sehingga sebati
dalam jiwa.
3.3.1 TAAT SETIA
Etika utama yang perlu diberikan perhatian dalam masalah atau isu ini
adalah taat setia. Segala apa yang dilakukan oleh manusia semuanya dikira
sebagai ibadah termasuk ketaatan dan tanggungjawab kepada Allah, Rasul, ketua,
keluarga, organisasi dan negara. Dalam
menangani isu tersebut nilai taat setia perlu untuk dihayati oleh setiap guru
demi mempertahankan kedaulatan negara dan bangsa. Bagi menentukan nilai ini
dipatuhi dalam perkhidmatan awam, setiap guru dikehendaki mematuhi tata
kelakuan serta ikrar yang termaktub dalam beberapa peruntukan yang berkenaan.
Kesanggupan untuk berkhidmat dengan kerajaan hendaklah disertakan dengan
semangat keikhlasan, kerelaan dan kesetiaan kepada Raja, negara dan kerajaan.
Justeru itu, sekiranya etika taat setia ini dihayati dengan mendalam oleh semua
guru isu guru merotan murid hingga trauma ke sekolah tidak akan berlaku lagi.
3.3.2 AMANAH
Amanah bermaksud sesuatu yang diberikan kepercyaan kepada orang lain
untuk melaksanakannya. Orang yang tidak amanah dianggap telah melakukan sesuatu
pengkhianatan dan juga penipuan. Guru yang amanah haruslah mengelak daripada
melakukan perkara-perkara seperti menyalahgunakan kuasa dan kedudukan. Justeru
itu, sekiranya semua guru menghayati nialai amanah ini masalah seperti murid
dipukul dan dirotan oleh guru dapat dielakkan.
3.3.3 BERAKAUNTABILITI
Setiap guru perlu mengutamakan kabajikan dan keselamatan murid daripada
hal-hal lain. Ciri ini adalah merupakan hasrat yang sepatutnya diamalkan.
Sepatutnya guru mengimbangi antara kecemerlangan akademik dengan kebajikan dan
keselamatan murid. Etika sudah ada secara teori tetapi guru juga mempunyai
aspirasi tersendiri.
Guru juga harus
bersikap adil terhadap setiap orang murid tanpa mengira faktor jasmani, mental,
emosi, politik ekonomi, social, keturunan atau agama. Sepatutnya semua guru
bersikap adil dan saksama ke atas semua murid dengan mengetepikan unsur-unsur
lain.
Dalam melaksanakan
tanggungjawab ini guru juga harus hendaklah sentiasa mengelakkan diri dari
menggunakan atau dipengaruhi oleh kedudukan sosio ekonomi murid. Pada kaca mata
guru sepatutnya semua murid adalah sama dan tidak perlu diberi keutamaan kepada
mana-mana murid.
3.3.4 BERKECUALI
Guru seterusnya juga perlu menunjukkan sifat berkecuali. Maksud
berkecuali pula ialah melaksanakan tugas dan tanggungjawab tanpa sebarang
pengaruh dan terlepas daripada sebarang tekanan luar berkaitan dengan tuntutan
tugas awamnya. Guru dikehendaki melaksanakan tugas mereka tanpa membawa apa-apa
bentuk pengaruh atau tekanan luar berhubung dengan sesuatu tuntutan yang
berkaitan dengan tugasnya.
3.3.5 BERSEDIA DAN BERUSAHA BERSUNGGUH-SUNGGUH
Guru juga dikehendaki sentiasa bersedia dan berusaha bersungguh-sungguh
melaksanakan semua dasar, program dan aktiviti yang telah dirancangkan oleh
pihak kerajaan yang memerintah. Ini bererti bahawa menjadi anggota Perkhidmatan
Awam memerlukan pengorbanan dari seorang guru. Sekiranya nilai ini dihayati
dengan jujur dan ikhlas, maka tindak tanduk serta keputusan yang diambil oleh
guru akan dihormati oleh murid dan ibu bapa kerana keputusan tersebut pasti
adil dan saksama serta mengikut peraturan yang ditetapkan.
4.0 IMPLIKASI ISU ATAU MASALAH
Sekiranya masalah isu merotan murid ini tidak dikawal
dan diambil tindakan sewajarnya, mungkin masalah ini akan menjadi isu atau
bualan hangat masyarakat. Kesan dan akibat daripada perbuatan tingkah laku guru
ini bukan sahaja akan memberi kesan kepada guru tersebut sahaja tetapi turut
member kesan kepada guru-guru lain, sekolah dan organisasi pendidikan di negara
kita.
4.1 TERHADAP MURID
Kesan daripada akibat perbuatan guru berkenaan bukan sahaja mencemarkan
nama baik guru berkenaan tetapi turut memberi kesan terhadap murid berkenaan
dan murid yang lain. Kesan daripada isu tersebut bukan sahaja menyebabkan murid
berkenaan trauma untuk datang ke sekolah tetapi turut menyebabkan murid-murid
yang lain berfikiran negatif terhadap guru berkenaan. Hal ini akan menyebabkan
murid-murid akan berasa takut untuk mengikuti kelas atau pengajaran dan
pembelajaran yang dilaksnakan oleh guru terbabit. Selain itu, kesan daripada
dirotan juga murid berkenaan turut mengalami kecederaan dan sekiranya masalah
ini tidak dibendung dan peraturan merotan seperti yang telah dikeluarkan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia tidak diikuti sebagaimana yang telah digariskan
mungkin akan menyebabkan ramai lagi pelajar yang menjadi mangsa.
4.2 GURU-GURU
Sebagai seorang yang professional, maka sudah tentulah seseorang guru
perlu menjaga profesion perguruan dan maruah seseorang guru. Menurut Mohd Najib
(1996) dalam Syed Ismail & Ahmad Subki (2010), untuk mencapai hasrat kita
ke arah mewujudka ‘world class education’ dan seterusnya ‘world class
nation’, kita memerlukan gabungan tenaga, pemikiran dan daya kreatif dari
setiap warga kementerian. Dalam usaha untuk memelihara etika perguruan ini,
semua guru seharusnya tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh
menjejaskan kecekapan tugas sebagai guru.
Dalam isu ini akibat
daripada perbuatan guru yang tanpa usul periksa merotan murid berkenaan
menjejaskan nama baik guru terhadap profesion perguruan terutamanya apabila
berita kurang baik ini berleluasa disebarkan di dada-dada akhbar. Selain itu,
akibat daripada tindakan guru terbabit, guru-guru yang lain juga menerima
tempiasnya terutamanya guru-guru yang berada di sekolah berkenaan di mana akan
dipandang serong oleh masyarakat setempat.
4.3 TERHADAP SEKOLAH
Sekiranya budaya merotan ini diamalkan secara berleluasa tanpa usul
periksa serta tidak mengikut seperti apa yang digariskan oleh Kementerian
pelajaran Malaysia, masyarakat tidak lagi mengganggap sekolah sebagai sebuah
institusi yang selamat untuk mereka menghantar anak mereka mendapatkan
pendidikan di sekolah dan sekolah tidak lagi dianggap sebagai institusi
pendidikan yang memberi pendidikan berkualiti kepada murid-murid.
4.4 TERHADAP PROFESION PERGURUAN
Selain itu, isu ini turut memberi kesan kepada profesion perguruan yang
menyebabkan generasi muda tidak lagi berminat untuk menjadi guru dan ini akan
mengakibatkan profesion ini kekurangan generasi muda yang berbakat untuk
mendidik anak bangsa. Kesannya kerajaan tidak dapat melahirkan guru-guru yang
berkemahiran dalam pelbagai aspek kerana kekurangan generasi muda yang ingin
menceburi bidang ini. Mengikut Lilia dan Norlena (1998), penyusutan kuasa untuk
menjalankan tugas secara professional menyebabkan profesion perguruan menurun
di kaca mata masyarakat.
5.0 RUMUSAN
Masalah isu guru merotan murid atau memukul berkait
rapat dengan kegagalan guru memenuhi keperluan psikologi dan keperluan
fisiologi. Kegagalan untuk memenuhi keperluan psikologi dan fisiologi ini
menyebabkan guru tersebut memilih jalan yang salah iaitu bertindak di luar
kawalan.
Walaubagaimanapun
kenalan sebahagian pelajar pada hari ini mengarahkan kepada bentuk jenayah
seperti samseng di sekolah, pergaduhan, memiliki bahan lucah dan penyalahgunaan
dadah. Bahkan ada pelajar yang berani mengugut guru yang cuba mendisiplinkan
mereka. Fenomena ini tentunya mencemaskan semua pihak dan pencegahan perlu
dilakukan dengan segera sebelum ianya menjadi parah. Mungkin salah satu cara
pencegahannya ialah melalui hukuman yang berat seperti rotan. Hukuman ini
walaupun dibenarkan, guru yang berkenaan sewajarnya menyelidik terlebih dahulu
dan mengambil tindakan sewajarnya sebelum membuat sesuatu tindakan. Menurut
Saidul Amin (2003) hukuman rotan ini walaupun dibenarkan, namun ada pihak yang
tidak berpuas hati dan beranggapan ia cara lama yang tidak sesuai pada zaman
ini.
6.0 REFLEKSI
Semasa menyelesaikan masalah atau mengupas isu
berkaitan dengan masalah guru yang merotan murid yang menyalahi peraturan
merotan murid yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, apa yang
dapat saya rumuskan ialah sebagai seorang guru kita hendaklah menyelidik
terlebih dahulu sesuatu masalah atau isu sebelum mengambil tindakan supaya
masalah seperti isu ini tidak berulang lagi. Selain itu, saya juga dapat
menyelami dengan lebih mendalam nilai dan etika keguruan yang perlu ada dalam
setiap pendidik dengan lebih mendalaman.
Selain
itu, apa yang dapat saya cadangkan dalam menyelesaikan isu berkenaan ialah,
guru besar haruslah memainkan peranan supaya nama baik dan reputasi sekolah
berkenaan terpelihara. Sewajarnya ibu bapa tidah harus meloporkan masalah ini
terus kepada liputan media masa tetapi merujuk terlebih dahulu kepada pihak
pentadbir di mana murid berkenaan bersekolah. Sekiranyanya mana-mana pihak di
dapati bersalah masalah ini bukan sahaja mengaibkan individu berkenaan tetapi
masyarakat serta individu yang berdekatan turut menerima tempiasnya.
Cabaran
semasa menyelesaikan masalah ini ialah mencari sebab atau faktor yang
mempengaruhi guru berkenaan bertindak sedemikian. Walaupun merotan boleh
dilaksanakan di sekolah-sekolah tetapi apa yang saya perolehi semasa menyelesaikan
isu ini ialah kuasa merotan murid hanya terletak pada guru besar dan guru-guru
yang telah diberi kuasa merotan. Jadi sebagai pendidik sewajarnya guru harus
berhati-hati dalam melaksanakan hukuman dan tindakan terhadap murid.
Oleh
yang demikian, sewajarnya guru-guru pada era globalisasi kini harus
berhati-hati dalam melaksanakan tindakan kepada murid agar isu seperti ini
tidak sewenang-wenangnya digembar-gemburkan di dada-dada akhbar. Kesan daripada
liputan media masa ini bukan sahaja menjejaskan reputasi guru berkenaan tetapi
kementerian dan seluruh profesion perguruan turut menerima tempiasnya.
BIBILIOGRAFI
Kamus
Dewan Edisi 3. (1996) . Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka
Mohamad
Bukhari Bin Mat Ghani (2010). Masalah Disiplin Pelajar Sekolah Di Daerah Kulaijaya. University Teknologi
Malaysia. Diperolehi pada 15 Ogos 2012
daripada http://www.fp.utm.my/epusatsumber/pdffail/ptkghdfwp/mohdbukhariap060329d2010ttp.pdfmohdbukhariap060329d2010ttp.pdf
Nazariah
Binti Ab Samad (2011). Etika Profesion Perguruan. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Diperolehi pada 13 Ogos 2012 daripada http://www.scribd.com/doc/73824281/Tugasan-3-pembangunan-sahsiah
Sajap
Maswan, Jamilah Din & Rodzita Osman (2004). Konsep Kendiri Pelajar Yang Telah Menjalani Hukuman Rotan di Sekolah
Menengah di Daerah Kerian. Diperolehi
pada 18 Ogos 2011 daripada http://www.sajadstudio.info/articale/hukuman_rotan.pdf
Surat
Pekeliling Iktisas Bil:7/2003. Kuasa Guru Merotan Murid. Kementerian Pelajaran Malaysia. Diperolehi pada 17
Ogos 2012 daripada http://sksgrokam.edu.my/portal/downloads/rotanmurid.pdf
Syed
Ismail & Ahmad Subki (2010). Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional. Selangor: Penerbitan
Multimedia Sdn. Bhd.
Utusan
Malaysia (2011). Murid Dirotan Trauma Ke Sekolah. Diperolehi pada 4 Ogos
2011daripada http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment