Sunday

ARTIKEL: "SEKSA JADI GURU"



OLEH: NUR ADILA BINTI ISMAIL


1.0  PENGENALAN

Profesion keguruan merupakan profesion yang tertua di dunia dan kini memasuki satu lagi era baharu. Peranan guru pada masa dahulu hanya bertumpu sebagai penyampai ilmu. Berbanding sistem pendidikan kini, guru lebih banyak berperanan sebagai pemudah cara pengatahuan yang seharusnya lebih bersedia dan peka dalam melahirkan dan menggunakan situasi-situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan. Selaras dengan perubahan peranan pendidik, guru harus lebih inovatif, kreatif fan efektif dalam penyampainya serta sentiasa memikirkan pendekatan baru untuk mengadaptasikan amalan mereka dengan kehendak pelajar sebagai ‘knowledge worker’ dalam era revolusi maklumat abad ke-21.

Guru dalam alaf baharu seharusnya professional dan profesionalisme ialah kunci kepada peningkatan kualiti (Jemaah Nazir, 2001). Kualiti yang dimaksudkan merujuk kepada kualiti proses dan yang lebih penting lagi ialah kualiti produk (output). Dengan ini, sumber manusia (modal insan) perlu dibangunkan secara bersepadu melalui latihan-latihan bagi memastikan setiap individu dapat mengembangkan potensi ke tahap yang optimum. Program-program pembangunan professional sudah tentu dapat mengupayakan guru demi meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Namun apa yang berlaku kini guru dilihat menghadapi tekanan yang tinggi dalam kelas mereka. Kepuasan mengajar tidak lagi dirasai seperti pendidik dahulu kerana guru sekarang dibebankan dengan pelbagai kerja lain disamping mengajar. Bukan kesemua program mengganggu sistem pengajaran tetapi jika terlampau banyak ianya akan menyebabkan fokus pengajaran akan kurang kerana terpaksa dibahagikan dengan kerja-kerja lain.


2.0 ARTIKEL: SEKSA JADI CIKGU

2.1 ULASAN

Artikel ini membincangkan tentang sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan untuk mengkaji bebanan tugas guru yang terpaksa melakukan kerja yang berlebihan termasuk pentadbiran dan pengkeranian. Disini dapat dilihat pihak atasan amat mengambil berat tentang sistem pendidikan negara. Ini kerana pendidikan sangat penting untuk memangkin perkembangan negara dan membentuk generasi yang bakal meneraju negara. Jika masalah pendidikan ini tidak diselesaikan maka ianya akan memberi kesan yang mendalam terhadap negara. Oleh itu hal pendidikan bukanlah merupakan perkara yang boleh dipandang remeh. Jika sesebuah negara itu mempunyai taraf pendidikan yang rendah dan tidak berkembang maka negara tersebut tidak akan maju. Keadaan ini menunjukkan betapa pentingnya pendidikan kepada negara.

Kini dapat dilihat peranan guru menjadi semakin mencabar berikutan perkembangan bidang pendidikan yang begitu pesat sekali. Malaysia sebagai sebuah negara membangun telah berusaha untuk membentuk perkembangan sistem pendidikannya yang tersendiri. Oleh hal yang demikian Dasar Pelajaran Kebangsaan (1956) telah dibentuk bertujuan memberi arah tuju kepada perkembangan masyarakat negara ini agar hasrat yang dicitacitakan itu tercapai.

Mengikut artikel itu, terdapat pihak yang membuat aduan berkaitan masalah guru terpaksa bekerja setiap Sabtu disebabkan terbabit dengan banyak aktiviti, sedangkan mengikut perkeliling yang dikeluarkan membenarkan guru  bercuti pada Sabtu sebanyak dua kali sebulan. Sepatutnya hal ini tidak berlaku dan pihak pentadbir dan pihak atasan perlu menyedarinya. Jika tidak ditangani, keadaan ini menyebabkan peningkatan stress dikalangan guru di Malaysia dan akan menyebabkan guru bekerja dalam keadaan keterpaksaan. Namun mengikut artikel itu lagi mereka akan meneliti masalah tersebut kerana tidak mahu tugas sebenar guru iaitu mendidik pelajar terganggu disebabkan pelbagai tugasan yang perlu dibuat. Apabila tugasan guru terganggu maka hasil pembelajaran yang dicurahkan kepada murid kurang memberansangkan kerana ianya dipengaruhi oleh emosi guru yang tidak stabil. Contohnya guru mengajar murid dalam keadaan marah-marah. Keadaan ini akan menyebabkan murid takut untuk belajar dan akan mengurangkan minat murid dalam subjek tersebut. Jika hal ini berlaku berterusan dikuatiri keputusan peperiksaan murid akan jatuh. Keadaan ini akan merugikan murid itu sendiri dan negara kerana dikuatiri masa depan mereka menjadi semakin malap. Sepatutnya untuk menghasilkan pelajar yang berjaya guru haruslah sentiasa bersemangat dan bekerja dalam keadaan tidak tertekan kerana pelbagai idea dan pendekatan baru dapat digunakan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlansung. Pelbagai idea dan pendekatan baru boleh membantu menambahkan minat murid untuk mempelajari sesuatu subjek yang diajar oleh guru.

Mengikut petikan artikel itu lagi pihak kementerian sebenarnya sedar tentang tugas sebenar guru ialah kepada pengajaran dan pembelajaran dalam kelas dan bukannya kerja pengkeranian. Namun kini, dapat dilihat dalam sistem pendidikan, guru kebanyakannnya terbeban dengan kerja mereka. Ini kerana guru bukan lagi sibuk mengajar tetapi mereka juga perlu membuat kerja-kerja pengkeranian. Selain itu, isu bebanan kerja ini turut dapat dirasai oleh murid-murid kerana guru kurang fokus dalam mengajar mereka kerana mereka terpaksa menyaipkan kerja-kerja pengkeranian.  Tugas perkeranian sepatutnya diserahkan kepada orang yang mahir dengan kerja tersebut atau dengan erti kata lain, tugas kerani atau pembantu guru. Mungkin ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan kerani dan pembantu guru, tetapi bayangkanlah jika guru terpaksa meninggalkan waktu pengajaran dan pembelajaran gara-gara untuk menyiapkan tugasan yang diberi oleh pihak sekolah sepantas yang mungkin. Murid-murid terpaksa diberikan lembaran kerja sahaja walaupun ada guru yang menggantikan kelas tersebut. Jika hanya sekali, mungkin tidak mengapa. Tetapi jika beberapa kali bagaimana pula? Sudahnya guru dipersalahkan kerana tidak dapat menghabiskan silibus ataupun tidak mencapai sasaran yang ditetapkan
.
Disebabkan banyak masa guru dihabiskan untuk kerja pengkeranian maka tanggungjawab mengajar kurang difokuskan. Sedangkan mengajar adalah tugasan seorang guru dan apabila tanggungjawab ini dapat dilaksana dengan baik ia akan membuka mata masyarakat tentang pekerjaan mengajar adalah professional.

“Mengajar ialah pekerjaan profesional. Tugas yang dilakukan oleh guru adalah bersifat intelektual, memerlukan amalan pertimbangan yang konsisten, tidak boleh disamarata atau dirutinkan, dan menuntut persediaan yang berpanjangan melalui pendidikan.”
- Janet A. Weiss (1989)

Selain itu, apabila kerja pengkeranian dan kerja-kerja sampingan lain makin bertambah maka fokus guru makin berkurang terhadap pengajaran. Apabila hal ini berlaku guru akan mendapat tekanan yang lebih tinggi dengan campurtangan ibubapa yang mempersoal jika keputusan pelajaran anak mereka jatuh dan merosot. Disini tanggungjawab guru akan dipersoalkan oleh ibubapa. Mereka akan mencari punca dan salah guru itu sendiri. Sepatutnya dalam hal ini semua pihak perlu memainkan peranan mereka contohnya pihak ibubapa datang ke sekolah untuk membincangkan masalah murid dan bukannya mempersalahkan guru jika anak mereka gagal. Pihak pentadbir juga perlu memainkan peranan mereka bekaitan masalah ini dan bukannya mempersalahkan guru itu jika murid-murid gagal. Sepatutnya semua pihak perlu bekejasama dalam mengatasi masalah ini agar pembelajaran murid akan sentiasa meningkat. Namun apabila masalah ini berlarutan kita akan lihat pandangan masyarakat terhadap profesion ini makin rendah. Oleh itu guru akan sentiasa berada dalam tekanan semasa bekerja. Jika keadaan ini tidak diatasi dikuatiri akan meninggalkan impak buruk terhadap profesion ini sendiri. Contohnya guru akan dilabel pemalas, tidak pandai mengajar dan sebagainya. Diharapkan pihak yang bertanggungjawab akan mengkaji masalah bebanan kerja guru dan dilaksanakan penyelesaiannya secepat mungkin.

2.2 ANALISIS

2.2.1 DEFINISI GURU

Mengikut kamus dewan, guru bermaksud pengasuh, pendidik dan pengajar. Guru adalah merupakan sumber kepada keberkesanan pendidikan. Walaupun sesuatu sistem pendidikan itu baik, sekiranya agen yang menyampaikan itu tidak efektif maka maksud yang ingin disampaikan tidak akan tercapai matlamatnya.

Kejayaan dan keberkesanan pendidikan adalah berhubung rapat dengan kesedaran para guru terhadap tanggungjawab, kelengkapan keilmuan dan keluruhan peribadi, adalah merupakan kriteria peribadi pendidik yang tidak boleh dipisahkan, sebaliknya boleh dijadikan contoh yang berkesan. Namun keberkesanan pengajaran guru semakin terganggu akibat bebanan kerja yang berlebihan.

2.2.2PERANAN GURU

Untuk mengatasi masalah “seksa menjadi cikgu” sepatutnya guru mengetahui peranan sebenar seorang guru agar mereka lebih tenang dalam melaksanakan tugasan. Guru sebenarnya adalah seorang pendidik sebagai insan yang mulia dan berjasa kerana merekalah yang bertanggungjawab mendidik manusia bagi melahirkan generasi Muslim yang beriman dan beramal soleh serta sanggup melaksanakan tugas terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Guru dalam sejarah hidupnya sentiasa menghargai kejayaan anak didiknya serta sanggup bekorban dan melakukan apa sahaja untuk manfaat dan kesejahteraan orang lain. 

Peranan guru adalah luas. Guru adalah pendidik, pembimbing dan pendorong. Dia juga penyampai ilmu, penggerak dan penasihat. Ini bermaksud, guru atau pendidik mempunyai tugas dan tanggungjawab yang mencabar,  kepentingan peranan guru itu memang tidak dapat dinafikan kerana boleh dikatakan setiap ahli masyarakat pada zaman ini melalui pendidikan yang diberikan oleh guru.

Islam meletakkan tugas sebagai guru yang melaksanakan tugas tarbiyah adalah ditempat yang sungguh mulia, seluruh masa yang digunakan dikira sebagai ibadah, setiap langkah dari rumah ke sekolah dan pulang kerumah dari sekolah akan mendapat satu pahala dan dihapuskan satu dosa, menyampaikan ilmu secara hikmah dan ikhlas semata-mata kerana Allah merupakan jihad yang paling tinggi pada pandangan Islam seperti mana yang dituntut dalam syariat Islam.

Firman Allah s.w.t. maksudnya :  “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik”.( Surah al-Nahl ayat 125)
 ‘

Dalam Islam terdapat 4 martabat guru atau pendidik iaitu:
                         
1.    Mudarris : yang bermaksud guru yang hanya mengajar mata pelajaran kemahiran mereka sahaja.

2.    Mu’allim : yang bermaksud guru yang tidak hanya mengajar mata pelajaran mereka tetapi turut menyampaikan ilmu-ilmu lain.

3.    Mursyid : yang bermaksud guru yang menyampaikan ilmu dan menunjukkan jalan yang benar.

4.    Murabbi : yang bermaksud guru yang mendidik, memelihara, mengasuh, mentarbiyyah anak didiknya  menjadi manusia yang berilmu, bertaqwa dan beramal soleh.

Namun sekarang peranan tersebut makin bertambah dengan kerja-kerja pengkeranian dan cuti hari sabtu turut diambil untuk melaksanakan program di sekolah dan ini amat mengecewakan guru-guru dan menyebabkan semangat untuk mengajar makin berkurangan. Ini kerana mereka memerlukan masa hujung minggu untuk bersama keluarga dan bukannya sepenuh hari berada disekolah sedangkan anak dirumah terbiar. Namun jika hari minggu tidak diganggu dengan tugasan disekolah maka ini membolehkan guru-guru untuk menghabiskan masa untuk keluarga mereka. Sebenarnya bukan kerja pengkeranian bukannya tidak reliven tetapi apabila terlampau banyak maka ia menyebabkan kekurangan masa untuk guru untuk mengajar. Kadangkala data yang ingin diupdate memerlukan jangkamasa yang singkat untuk dihantar sedangkan tugas tersebut lebih memerlukan orang yang pakar dan ini seringkalai menjadi masalah kepada guru-guru yang sudah berumur. Andai kata tugas perkeranian diberikan kepada kerani pun, kerani belum tentu menang tangan dengan kerja yang sedia ada. Tak lupa juga sistem yang selalu berubah-ubah menyebabkan guru pening kepala. Banyak krusus yang perlu dihadiri oleh guru contohnya daripada krusus KBSR kepada krusus KSSR, daripada fail KBSR kepada fail KSSR. Ini merupakan perubahan dan bebanan kerja yang perlu dihadapi oleh guru sekarang. Keadaan ini berlaku kerana kerajaan ingin mengejar PIPP, NKRA, Transformasi Negara dan sebagainya.

2.2.3     CADANGAN UNTUK MENGATASI MASALAH INI

Antara cadangan untuk mengatasi masalah ini ialah pihak atasan perlu memainkan peranan dengan mengkaji balik tugasan yang patut dilaksanakan oleh guru supaya kualiti pengajaran tidak terganggu. Ini kerana mengikut pandangan saya jika ianya dikaji berdasarkan untuk mengekalkan kualiti pengajaran guru maka bebanan kerja seperti kerja pengkeranian, lebihan masa bekerja dan lain-lain tidak akan berlaku. Jika dilihat definisi guru adalah pengajar maka sepatutnya mereka hanya mengajar dan bukan dibebankan dengan beban kerja yang lain dan mendatangkan stress kepada diri mereka. Namun jika kesemua tugasan ini perlu ditanggung guru sepatutnya tugasan ini dibahagikan secara adil antara guru. ini kerana ianya dapat mengelak rasa tidak puas hati dan tidak menibulkan pergaduhan.

Selain itu, kerajaan juga perlu menambahkan kerani di setiap sekolah untuk melaksanakan kerja-kerja pengkeranian seperti mengupdate data-data murid dan menyusun  folder-folder mereka dan sebagainya. Ini dapat meringankan beban guru dan guru dapat memfokuskan diri mereka untuk mengajar dengan lebih baik tanpa memikirkan kerja lain. Keadaan ini akan meningkatkan kualiti pengajaran dan akan membuatkan murid mudah untuk faham lantas dapat menghasilkan murid-murid yang cemerlang dan terbimbing.

Antara cara lain untuk mengatasi masalah “seksa menjadi guru ialah” bilangan murid dalam satu kelas sepatutnya diselaraskan. Contohnya di dalam kelas tersebut hanya terdapat 25murid paling maksimum. Apabila jumlah murid terlalu ramai maka kelas tidak dapat dikawal dan bebanan kerja semakin bertambah dan menyebabkan kawalan emosi guru terganggu.

Sebenarnya kesedaran dalam diri guru untuk menyelesaikan masalah ini amatlah penting. Kawalan emosi yang baik dapat mengurangkan stress yang bakal dihadapi. Apabila emosi dapat dikawal maka guru tersebut tidak mudah memindahkan masalah yang dihadapi kepada murid mereka. Ini penting kerana isu ini tidak dapat dijamin untuk diselesaikan dalam tempoh yang singkat dan kemungkinan  akan memakan masa yang lama. Oleh itu guru itu sendiri perlu mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ini tanpa mengganggu pelajaran murid. Guru-guru perlulah memperbanyakkan bacaan tentang cara untuk mengawal emosi mereka supaya kehidupan mereka tidak akan terganggu dengan emosi yang tidak stabil akibat bebanan kerja ini. disini perlunya kesedaran dalam diri guru untuk menyelesaikan masalah dan bukannya menunggu masalah diselesaikan oleh pihak atasan.


3.0  RUMUSAN

Pada pendapat saya masalah beban tugas guru bukanlah perkara baru, namun ianya kembali hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini. Bebanan tugas yang berlebihan dikatakan bukan saja mengganggu tugas hakiki guru, malah menyebabkan sesetengahnya hidup tertekan. Selain terbabit dengan kegiatan kokurikulum serta mengikuti pelbagai jenis kursus, guru juga terpaksa melakukan tugas pentadbiran dan perkeranian. Semua itu, membantutkan usaha golongan pendidik ini untuk memberikan sepenuh komitmen kepada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

Menyedari hakikat itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran mengarahkan agar satu jawatankuasa khas ditubuhkan pertengahan tahun ini bagi mengkaji beban tugas guru yang kini terpaksa melakukan kerja berlebihan. Satu makmal khas turut diwujudkan dengan menjemput guru dan pengetua untuk mengatasi masalah itu, selain pergi ke sekolah untuk meninjau dan mendapatkan maklum balas daripada pihak guru sendiri. Laporan akhir Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru 2010 itu yang didedahkan kepada umum kelmarin, mengenal pasti 14 faktor yang menyumbang kepada meningkatnya beban tugas guru. Antaranya termasuk penyertaan guru dalam terlalu banyak kegiatan kokurikulum dan sukan hingga menjejaskan prestasi pengajaran murid serta amalan profesional keguruan. Selain itu, jawatankuasa itu turut mengemuka serta memperakukan 28 cadangan kepada Kementerian Pelajaran. Antaranya untuk menempatkan guru pembantu dalam kelas melebihi 35 murid di sekolah rendah dan 40 murid di sekolah menengah serta melantik jurulatih kokurikulum atau sukan bertauliah secara kontrak bagi mengurangkan beban tugas guru.

Justeru, apabila cadangan laporan itu dilaksanakan kelak, diharapkan ia mampu menangani masalah beban tugas berlebihan yang dihadapi guru di setiap sekolah seluruh negara. Selain itu, saya percaya Kementerian Pelajaran sudah mengkaji secara mendalam sebelum memutuskan untuk melaksanakan cadangan laporan itu agar tidak timbul masalah lain, termasuk dari segi kos operasi di sekolah kerana ia tentunya memerlukan peruntukan besar daripada kerajaan. Bagi memastikan pelajar mendapat manfaat dan meningkatkan kualiti pencapaian mereka, Kementerian Pelajaran harus melaksanakan cadangan laporan itu dengan bijaksana, teliti dan berkesan.

Pembahagian tugas antara guru kelas dan guru pembantu perlu dilaksanakan dengan bijak agar tidak berlaku pertindihan. Dengan berkurangnya beban kerja, kita harap setiap guru dapat memberi komitmen serta tumpuan sepenuhnya terhadap tugas mengajar di dalam kelas bagi meningkatkan prestasi pelajar. Kita tidak mahu ada lagi segelintir guru mengambil kesempatan menjadikan alasan bebanan tugas untuk tidak melaksanakan tugas hakiki mereka dengan baik dan mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan. Guru adalah kerjaya yang sentiasa mendapat perhatian utama kerajaan kerana peranannya cukup penting dalam mendidik rakyat agar menjadi modal insan cemerlang untuk membangunkan negara. Sebab itulah kerajaan tidak pernah mengabai kebajikan guru dan setiap masalah yang timbul sentiasa mendapat perhatian untuk ditangani segera.

Oleh itu, dalam keadaan tertentu, guru juga perlu membuktikan keikhlasan serta sikap sedia berkorban tanpa mengharapkan imbuhan semata-mata. Kerana apabila guru sentiasa mengharapkan imbuhan tanpa menunjukkan komitmen kepada tugasan ini akan membuatkan sistem pendidikan tidak berkembang dan profesion ini akan dipandang rendah oleh masyarakat. Namun saya percaya sebahagian besar guru di negara ini komited dengan tugas mereka dan sanggup mengharungi cabaran bagi memastikan pelajar mendapat pendidikan sempurna dan cemerlang dalam pelajaran. Ini kerana apabila murid berjaya maka secara tidak lansung guru akan merasakan kepusan dalam kerjaya mereka. Ini kerana tugasan mendidik bukan tugasan yang mudah. Mendidik bukan sahaja kita mengajar tetapi kita juga perlu membuatkan mereka faham dan apabila tahap kefahaman dicapai maka mereka akan ingat segala tajuk yang diajar guru. pada pendapat saya ikhlas penting supaya segala ilmu yang kita sampaikan kepada murid senang untuk murid ingat ini kerana bila kita ikhlas kita dengan senang hati menolong murid dan jika kita tidak ikhlas ia akan menjadi sebaliknya.


4.0 REFLEKSI

Melalui artikel “ seksa jadi cikgu” pelbagai pengalaman dapat saya perolehi semasa menganalisisnya. Sebelum ini saya hanya mengetahui bebanan kerja yang ditanggung guru yang semakin bertambah tetapi saya kurang mengetahui apakah bebanan-bebanan yang terpaksa mereka tanggung. Semasa menjalani praktikum kadang-kadang saya melihat guru-guru terpaksa mengisi markah secara online dan pelbagai masalah timbul semasa menyelesaikan tugasan tersebut.

Melalui tugasan ini saya diminta untuk mengulas artikel ini secara keseluruhan. Artikel ini memfokuskan tentang bebanan kerja yang terpaksa ditanggung guru pada masa sekarang namun pihak kementerian juga dilihat memainkan peranan dengan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menangani masalah ini. jika sebelum membuat tugasan ini saya tidak mengetahui bahawa sebenarnya pihak kerajaan turut memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah dan bukannya masalah ini dibiarkan secara berlarutan tanpa tindakan-tindakan yang sepatutnya dijalankan. Pada awalnya saya kurang faham tentang isu ini namun saya telah meminta tunjuk ajar dari rakan dan membuat banyak rujukan tugasan ini.

Antara cabaran yang dihadapi sepanjang menyiapkan projek ini ialah kekangan masa untuk mendapatkan informasi yang lagi mendalam berkaitan isu ini. ini kerana isu “seksa menjadi cikgu” merupakan isu yang menarik yang boleh dikupas. Kejayaan yang saya dapat ialah saya berjaya menyiapkan dan mengupas isu ini seperti yang dikehendaki oleh tugasan.

Antara kemahiran dan ilmu yang saya peroleh melalui tugasan ini ialah saya menjadi lebih bersedia untuk memasuki bidang perguruan ini. Segala persedian emosi dan metal dapat dibuat kerana saya telah melihat isu ini dari awal sebelum saya akan berkhidmad pada masa akan datang. Persedian dari segi mental sangat penting supaya tekanan emosi dapat dikurangkan. Diharapkan apabila saya memasuki bidang perguruan ini nanti isu bebanan kerja guru ini dapat saya atasi dengan jayanya dan diharap pihak kerajaan juga menjalankan langkah penyelesaiannya.




No comments:

Post a Comment